https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/06/111-20.jpg
in

MI SEGERA GUNA LOGO HALAL YANG DIBATALKAN

MI SEGERA GUNA LOGO HALAL YANG DIBATALKAN

SHAH ALAM: Sebuah syarikat kerugian hampir RM1.5 juta apabila mi segera keluarannya disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menerusi satu operasi di Rawang, semalam.

Dalam operasi jam 12 tengah hari itu, mi segera berkenaan disita selepas syarikat itu didapati menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang sudah dibatalkan.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah, berkata operasi berkenaan dijalankan ke atas sebuah premis memproses makanan segera yang terletak di kawasan perindustrian Taman Industri Integrasi Rawang.

Katanya, premis berkenaan diserbu selepas pemantauan sejak sebulan lalu mendapati syarikat itu masih menggunakan logo halal yang sudah dibatalkan.

“Difahamkan, penggunaan logo halal dibatalkan kerana syarikat gagal mematuhi standard pemegang sijil halal ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) antaranya premis kotor dan bahan mentah diletakkan atas lantai kilang.

“Ketika serbuan dijalankan, anggota menemui sejumlah 1,128,872 pek mi segera pelbagai perisa siap dibungkus menggunakan logo halal.

“Turut ditemui adalah sejumlah 258 gulung dan 2,696,00 unit plastik pembungkus dan hampir 42,000 unit kotak pembungkus yang menggunakan logo halal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika serbuan, penguat kuasa turut menemui wakil syarikat dan dimaklumkan bahawa syarikat sudah membuat permohonan rayuan ke atas penarikan sijil halal namun ditolak oleh JAIS berikutan terdapat teguran yang dibuat gagal diambil tindakan sewajarnya dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya, kes disiasat mengikut Perenggan 4 Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Peraturan 4 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. – BH

(Visited 9 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0