https://johortimes.my/wp-content/uploads/2021/06/111-9.jpg
in

KANAK-KANAK 5 TAHUN MENINGGAL DUNIA DISYAKI DIDERA

KANAK-KANAK 5 TAHUN MENINGGAL DUNIA DISYAKI DIDERA

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun meninggal dunia disyaki akibat didera ketika di bawah jagaan pengasuhnya di sebuah unit kondominium di Jalan Ipoh, semalam.

Sepasukan anggota polis yang bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan jam 2.45 petang, menemui kanak-kanak itu dalam keadaan terbaring atas katil dengan lengkap berpakaian.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata sepasukan anggota paramedik yang turut ke lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Pemeriksaan menemui kesan calar serta lebam pada beberapa bahagian badan dan kaki mangsa.

“Susulan itu, kita menahan seorang wanita yang juga pengasuh mangsa serta dua anak lelakinya, berusia antara 22 tahun hingga 61 tahun untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat yang akan dijalankan esok.

“Permohonan reman ke atas tiga suspek akan dibuat hari ini dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2206 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – BH

(Visited 11 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0