in

TUN MUSA HITAM TERUJA KEUPAYAAN JOHOR MEMBINA VELODROM BERKELAS DUNIA

Tun Musa Hitam (tengah), menerima cenderamata dari Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA XX Johor, Tuan Haji ‘On Jabbar (dua dari kiri) semasa lawatan beliau ke Velodrom Johor di Iskandar Puteri hari ini. Turut hadir adalah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Dato’ Haji Salehuddin Haji Hassan, (dua dari kanan) dan  Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd (KPRJ), Dato’ Haji Mohd Noorazam Dato’ Haji Osman (tiga dari kiri)

ISKANDAR PUTERI 291220 – Usaha gigih Kerajaan negeri Johor menerusi anak syarikat Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd (KPRJ) bagi membina fasiliti dan kelengkapan sukan berkelas dunia untuk meningkatkan mutu kualiti sukan di negeri ini mendapat pujian daripada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.

Menurutnya, kebolehan dan keupayaan Kerajaan negeri di dalam membangunkan Velodrom Johor dan Trek BMX di Iskandar Puteri menunjukkan bahawa Johor benar-benar serius di dalam melahirkan bakat baharu sukan berbasikal selari dengan visi mereka untuk muncul kuasa sukan era baharu.

Negarawan yang juga anak jati negeri Johor itu berkata, “Saya mengambil keputusan untuk melawat Velodrom ini selepas banyak mendengar khabar daripada rakan-rakan mengenai sebuah bangunan yang tersergam indah di Iskandar Puteri,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Velodrom Johor dan Trek BMX di Iskandar Puteri petang tadi.

Tambahnya lagi “Meskipun temasya SUKMA XX Johor 2020 terpaksa ditunda, usaha Kerajaan negeri membina dan menyiapkan velodrom ini wajar dipuji dan saya berharap supaya ianya dapat digunakan bukan sahaja untuk pertandingan peringkat kebangsaan tetapi juga peringkat antarabangsa”.

Beliau juga mengharapkan agar lebih ramai lagi bakat-bakat baharu di dalam sukan berbasikal dapat dilahirkan bagi mengharumkan nama negara pada masa akan datang.

Velodrom Johor yang terletak di kawasan seluas 2.54 hektar itu mempunyai trek sepanjang 250 meter mengikut piawaian Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) serta mampu menampung seramai 700 penonton.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Perbadanan Stadium Johor, Gadaffie Aziz menzahirkan ucapan terima kasih di atas kesudian Tun Musa Hitam mengadakan kunjungan ke Velodrom Johor yang menjadi mercu tanda baharu di negeri Johor.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Tun Musa Hitam di atas kesudian beliau untuk hadir melihat sendiri perkembangan Velodrom Johor ini. Sebagai rakyat negeri Johor, saya pasti beliau juga amat bangga melihat pencapaian ini dan kita akan menggunakan Velodrom ini sebaik mungkin.

Gadaffie yang juga merupakan Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor turut menjelaskan pelbagai acara sukan akan dianjurkan di Velodrom Johor dan Trek BMX ini bagi memastikan gelanggang tersebut digunakan sebaik mungkin menjelang SUKMA XX Johor 2020 yang telah dijadualkan semula pada tahun 2022. Pertandingan tersebut bakal melibatkan beberapa pasukan berbasikal negeri.

Tambahnya lagi, terdapat beberapa permintaan daripada pasukan berbasikal antarabangsa untuk menggunakan Velodrom Johor sebagai pusat latihan sebelum terbang ke Tokyo untuk Sukan Olimpik 2021.

“Pada masa yang sama, pihak kami juga menerima permohonan secara tidak rasmi dari pasukan kebangsaan Poland dan Mexico yang berhasrat untuk berlatih di Velodrom Johor sebagai persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo tahun hadapan.”

Lawatan kerja Tun Musa Hitam turut disertai oleh isteri beliau, Toh Puan Zulaikha Sheardin, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Dato’ Haji Salehuddin Haji Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd (KPRJ), Dato’ Haji Mohd Noorazam Dato’ Haji Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA XX Johor, Tuan Haji ‘On Jabbar.

(Visited 74 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0