in

SEMUA 968 INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM DITUTUP DI JOHOR

http://johortimes.my/wp-content/uploads/2020/11/1-18.png

SEMUA 968 INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM DITUTUP DI JOHOR

JOHOR BAHRU 081120 – Kerajaan negeri mengarahkan semua 968 institusi pendidikan Islam kerajaan dan swasta ditutup bermula esok hingga ke hari akhir persekolahan pada 17 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, semua institusi tersebut dikendalikan di bawah Jabatan Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).

Jelas beliau, langkah tersebut sebagai usaha membantu kerajaan Persekutuan memutuskan rantaian penyebaran pandemik Covid-19.

“Penutupan itu melibatkan 571 Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor (SAKNJ); 197 Tadika Agama Johor (TAJ); 109 madrasah tahfiz swasta; 31 sekolah rendah agama swasta serta lapan sekolah rendah agama dan 20 sekolah menengah agama bantuan kerajaan.

“Ini termasuk 13 madrasah pondok swasta; lima sekolah rendah agama rakyat; empat madrasah Malabar Johor; sembilan sekolah menengah agama swasta; dua sekolah menengah agama negeri Johor; satu maahad tahfiz negeri Johor dan satu Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, sepanjang tempoh penutupan itu, proses pengajaran dan pembelajaran di rumah akan tetap diteruskan mengikut kesesuaian guru dan pelajar manakala pentadbir sekolah perlu memastikan arahan tersebut dilaksanakan.

Semua guru katanya, perlu berada di tempat bertugas masing-masing serta sentiasa mematuhi arahan Bahagian Pendidikan Islam JAIJ, Kementerian Pendidikan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

Katanya, bagi pelajar di asrama, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil pelajar untuk pulang ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun katanya, pelajar boleh tinggal di asrama sementara menunggu ibu bapa atau penjaga sebelum pukul 5 petang pada Selasa ini.

Di sepanjang tempoh tersebut katanya, pelajar akan berada di bawah penjagaan warden asrama dan segala keperluan makan minum mereka akan disediakan pihak sekolah.

Jelasnya, bagi peperiksaan di bawah Bahagian Pendidikan Islam JAIJ seperti Peperiksaan Ujian Kelayakan Darjah Khas (UKDK), Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) dan Sijil Menengah Agama (SMA) ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan.

“Takwim penggal persekolahan dan cuti persekolahan bagi tahun 2021 akan diselaraskan semula oleh Bahagian Pendidikan Islam JAIJ.

“Kakitangan yang berkhidmat sama ada di bahagian itu, Pejabat Pendidikan Islam Daerah dan institusi-institusi pendidikan Islam yang berkaitan perlu merujuk surat yang dikeluarkan Pejabat Setiuasaha Kerajaan Negeri Johor pada tarikh 8 November 2020,” katanya. – JT

https://www.youtube.com/watch?v=r6vX38l81PE
(Visited 63 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0