http://johortimes.my/wp-content/uploads/2020/11/Untitled-2-10-1200x675.png
in

PROGRAM UMNO, PKR BERTEMBUNG DALAM KAWASAN SAMA

PROGRAM UMNO, PKR BERTEMBUNG DALAM KAWASAN SAMA

PASIR GUDANG 291120 – Program anjuran Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang bertembung dengan program Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang kebetulan kedua-duanya diadakan di Kampung Sungai Rinting D, di sini hari ini.

Program Pemuda Bantu Rakyat anjuran pemuda bahagian itu adalah bagi memberikan bantuan kepada mangsa banjir di kampung tersebut, manakala program Hassan pula meninjau kawasan banjir yang juga di kawasan berkenaan.

Jarak kedua-dua program yang diadakan pada pukul 9.30 pagi hanya kira-kira 100 meter, pertembungan pemuda UMNO dan ahli PKR Bahagian Pasir Gudang itu berjalan dalam suasana harmoni dengan masing-masing bersalaman serta beramah mesra.

Menurut Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Noor Azleen Ambros, program tersebut melibatkan 150 keluarga dari kawasan Pasir Gudang dan Johor Jaya yang terjejas akibat banjir minggu lalu menerima bantuan sumbangan mereka.

Jelasnya, seramai 30 sukarelawan menyertai Program Pemuda Bantu Rakyat di Kampung Sungai Rinting, Kampung Sepakat, Taman Kota Puteri dan Jalan Cenderai Taman Megah Ria pada hari ini.

“Menerusi aktiviti ziarah ini, kita dapat mendengar sendiri suara masyarakat dalam mengenal pasti dan mencari jalan penyelesaian yang boleh difikirkan bagi meletakkan penamat bagi kejadian banjir yang kerap berulang.

“Kita kena tengok balik soal sistem saliran, sistem perparitan dan perangkap sampah yang boleh menjadi faktor pemangkin isu ini. Itu semua perlu diambil kira bagi mencari penyelesaian secara menyeluruh,” katanya ketika ditemui.

Noor Azleen berkata, Program Pemuda Bantu Rakyat itu akan diteruskan esok dengan mengadakan ziarah di kawasan Johor Jaya melibatkan Kampung Saujana Baru, Taman Seri Pandan dan beberapa kawasan lain.

Katanya, sumbangan yang diberikan berupa makanan kering serta wang tunai sebanyak tambahan belanja untuk mencuci rumah dan sebagainya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya Pasir Gudang meningkatkan kualiti pentadbiran mereka agar selari dengan status Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) yang dinaik taraf pada 22 November lalu.

“Harapan saya agar Pasir Gudang yang berstatus Majlis Bandaraya pada hari ini dapat melihat isu terbabit dengan lebih serius.

“Isu banjir kilat itu tidak seharusnya terus membelenggu penduduk setempat hingga ke hari ini. Saya rasa ini bukanlah satu ciri sebuah bandar raya yang maju dan mampan,” katanya. – JT

https://www.youtube.com/watch?v=r6vX38l81PE
(Visited 35 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0