http://johortimes.my/wp-content/uploads/2020/11/7-1-1200x675.png
in

PENUNGGANG MAUT DIGILIS LORI

PENUNGGANG MAUT DIGILIS LORI

KOTA TINGGI 031120 – Seorang lelaki maut selepas motosikal Yamaha Y15ZR ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 41, Jalan Johor Bahru-Mersing dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, kemalangan tersebut berlaku pada pukul 3.15 petang berhampiran sebuah stesen minyak menghala ke Johor Bahru.

“Lelaki tersebut yang menunggang bersendirian dari arah Mersing menghala ke Johor Bahru dipercayai bergesel dengan lori jenis Hino berwarna hijau tanpa muatan dipandu seorang lelaki.

“Akibat pergeseran itu motosikal tersebut hilang kawalan dan penunggangnya tercampak ke bahu jalan sebelum digilis lori berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, akibat kemalangan tersebut penunggang berusia 22 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berkenaan melarikan diri.

Namun, pada pukul 9.20 malam tadi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Kota Tinggi berjaya mengesan dan menangkap pemandu tersebut yang berusia 50 tahun.

Hasil saringan air kencing katanya, suspek negatif pengaruh dadah atau alkohol serta tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

Beliau berkata, suspek ditahan dan siasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000.

Ini termasuk kelayakan memegang lesen memandu selama tidak kurang lima tahun, katanya.

Tambahnya, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menasihatkan orang ramai supaya peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan ditetapkan bagi menjaga keselamatan bersama-sama di jalan raya. – JT

(Visited 40 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0