http://johortimes.my/wp-content/uploads/2020/11/Untitled-2-1-1200x675.png
in

PEMBERSIHAN 1,449 JALAN DI TIGA NEGERI DISERAH KEPADA JKR

PEMBERSIHAN 1,449 JALAN DI TIGA NEGERI DISERAH KEPADA JKR

JOHOR BAHRU 181120 – SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) menyerahkan perkhidmatan pembersihan jalan di beberapa jalan utama perbandaran di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan kepada Jabatan Kerja Raya sejak Januari lalu.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, penyerahan itu melibatkan keseluruhan sebanyak 1,449 jalan.

Jelas beliau, langkah itu selaras dengan arahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada semua syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

“Perkhidmatan pembersihan jalan tersebut dikeluarkan daripada skop kerja syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam kerana jalan berkenaan berada di bawah pentadbiran dan seliaan JKR.

“Selain itu, perigi tersebut juga di luar skop Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, penamatan perkhidmatan pembersihan oleh SWM Environment ini melibatkan 231 jalan JKR di Johor, 1,062 jalan JKR di Melaka dan 156 jalan JKR di Negeri Sembilan.

“Ini meliputi perkhidmatan pembersihan jalan dengan menggunakan jentera ‘road sweeper’, kutipan sampah, pemotongan rumput dan pembersihan longkang di sepanjang jalan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, sebarang aduan melibatkan isu kebersihan boleh diajukan terus kepada pihak JKR.

Walau bagaimanapun, SWM Environment sedia bekerjasama dengan semua pihak berhubung perkara berkenaan selain turut menegaskan akan terus bertanggungjawab terhadap pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di tiga negeri tersebut.

“Kami sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti di kawasan-kawasan seliaan kami,” ujarnya. – JT

(Visited 114 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0