http://johortimes.my/wp-content/uploads/2020/11/1-29.png
in

KEPUTUSAN TEPAT TUNDA SUKMA JOHOR 2020

KEPUTUSAN TEPAT TUNDA SUKMA JOHOR 2020

JOHOR BAHRU 091120 – Persekutuan Angkat Berat Malaysia menyokong penuh keputusa Majlis Tertinggi Sukan Malaysia pada hari ini yang menunda penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 pada tahun depan sebaliknya diadakan pada 2022.

Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata, keputusan itu tepat berdasarkan situasi semasa COVID-19 di negara ini yang membimbangkan dan ketidaktentuan penganjuran 2021 sama ada dibolehkan atau tidak.

“Keputusan ini sekali gus memberikan negeri untuk melakukan persediaan, menyusun atlet dan merancang latihan terutamanya pada 2021 nanti sebelum penganjuran Sukma Johor 2020.

“Terdapat juga atlet yang sedang memfokuskan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan tidak dapat turun latihan pada waktu ini.

“Kalender akademik dan peperiksaan juga sering bertukar disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sesetengah negeri yang menyukarkan para atlet yang sedang belajar untuk merangka jadual latihan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sukma dan Para Sukma 2020 di Johor sekali lagi terpaksa ditangguhkan dan perkara itu diputuskan hari ini akibat ketidaktentuan penularan wabak berkenaan yang telah memasuki gelombang ketiga di negara ini.

Bagaimanapun Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu hampir 99 peratus bersedia daripada segi perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Menurut Reezal Merican, keputusan itu diambil selepas menerima cadangan Sekretariat Sukma Johor dan pihak kerajaan Johor untuk membatalkan dua temasya tersebut yang dijadualkan pada Mac dan April tahun depan.

Ayub berkata, walaupun begitu terdapat beberapa kebimbangan yang perlu dijelaskan kementerian tersebut antaranya perubahan atau ketetapan berkaitan had umur, kelayakan penyertaan dan syarat pertandingan perlu dimaklumkan segera kepada negeri.

“Ini termasuk kebimbangan kehilangan bakat anak muda bawah 21 tahun dan ke mana arah tuju mereka dalam sukan. Begitu juga prosedur operasi standard (SOP) dan persiapan atlet negara ke Sukan SEA 2021, Vietnam dan Sukan Komanwel 2022, Birmingham,” katanya.

Selain itu, penganjuran kejohanan kebangsaan untuk mencari bakat baharu perlu disegerakan atau dibenarkan dalam skala sangat minima agar negara tidak kehilangan bakat-bakat muda dalam keadaan pandemik ketika ini.

“Pendirian Kementerian Belia dan Sukan terhadap penganjuran kejohanan Sukan SEA 2021 dan sukan di peringkat antarabangsa pada tahun 2021 juga perlu diketahui,” katanya. – JT

https://www.facebook.com/johortimes.my/videos/196276868726456/

https://www.facebook.com/johortimes.my/videos/204853614433074/

(Visited 32 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0