http://johortimes.my/wp-content/uploads/2020/11/5-1200x675.png
in

JUDI DALAM TALIAN DI RUMAH SEWA TUMPAS

JUDI DALAM TALIAN DI RUMAH SEWA TUMPAS

ISKANDAR PUTERI 011120 – Bahagian Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menyerbu sebuah rumah di Taman Bukit Indah di sini semalam yang dijadikan pusat operasi bagi judi dalam talian.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam serbuan pada pukul 1 petang pihaknya menahan tujuh individu berusia 18 hingga 25 tahun terdiri daripada tiga lelaki dan empat wanita tempatan.

“Dalam serbuan ini polis berjaya merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam perjudian dalam talian. Antaranya empat set komputer, tujuh unit telefon bimbit, dua buku nota, tiga unit kalkulator, satu unit modem, 13 keping kad bank dan 59 kertas putih tercatat urus niaga judi atas talian.

“Kebiasaannya operasi judi dalam talian dibuat di lot kedai dan premis perniagaan namun mêreka melakukannya di sebuah rumah sewa bagi mengelak kegiatan mêreka đihidu pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri di sini hari ini.

Katanya, hasil siasatan mendapati pusat operasi judi itu sudah beroperasi kira-kira sebulan lalu yang đijadikan tempat pemain judi atas talian membuat tambah nilai bagi meneruskan aktiviti judi mereka.

“Walaupun baru sahaja beroperasi, pusat ini sudah membuat transaksi lebih RM6,000 melibatkan sehingga 30 individu seperti yang dicatatkan dalam buku nota mereka,” katanya.

Dzulkhairi berkata, kesemua yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau dan mereka direman dua hari sehingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Katanya, orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pemilik rumah sewa juga perlu ambil tahu tentang individu yang menyewa di premis mereka serta aktiviti yang mereka lakukan dan bukannya hanya fikir keuntungan semata-mata.

“Segera laporkan kepada polis sekiranya mendapati mereka berkelakuan mencurigakan. Polis juga akan menyiasat latar belakang pemilik rumah itu sekiranya ada penglibatan dalam kegiatan itu,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, polis sudah membuat 79 serbuan dan menangkap 158 individu berusia 17 hingga 60 tahun sejak Ops Dadu dijalankan dari awal tahun hingga bulan lalu.

Jelasnya, dalam tempoh tersebut, polis sudah merampas 270 peralatan dipercayai digunakan dalam aktiviti perjudian yang dianggarkan bernilai RM25,388.

“Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 16 kertas siasatan dibuka serta 10 buah premis telah dipotong bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB),” ujarnya. – JT

(Visited 35 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0