http://johortimes.my/wp-content/uploads/2020/11/1-13.png
in

AMAT BERAT NAK LULUSKAN PENGELUARAN KWSP – PM

AMAT BERAT NAK LULUSKAN PENGELUARAN KWSP – PM

KUALA LUMPUR 071120 – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan pada mulanya amat berat hati meluluskan pengeluaran Akaun Satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bagaimanapun, katanya, kelonggaran diberikan kepada golongan sasar, memandangkan situasi semasa segelintir rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 amat teruk.

“Bukan soal tak nak bagi, tapi macam mana nak lihat jaminan masa depan pencarum, apabila sudah keluarkan akaun dua, sekarang akaun satu.

“Jadi, apa jaminan lepas bersara, tetapi kita lihat situasi amat gamat kerana ada yang memang terkesan dalam keadaan sekarang sehingga mungkin tiada duit.

“Tetapi, sebahagian besar pencarum simpanan tidak banyak, sekitar RM5,000 hingga RM10,000, jadi harus diperhalusi corak pengeluaran ini.

“Jadinya, kita buat keputusan secara bersasar,” katanya menerusi siaran eksklusif bersama Perdana Menteri, malam tadi.

Menerusi rundingan dengan Kementerian Kewangan, Perdana Menteri berkata pertimbangan untuk meluluskan pengeluaran akaun satu KWSP diajukan, namun ia perlu dibuat secara berhati-hati supaya tidak menjejaskan simpanan ‘hari tua’.

Sehubungan itu, katanya, kelompok atau kumpulan paling terjejas, iaitu pencarum yang hilang pekerjaan dijadikan sandaran utama sebagai prasyarat pengeluaran akaun satu KWSP, dengan had ditetapkan pada kadar RM6,000.

“Kalau nak sentuh juga (akaun satu KWSP), apa nak buat, kita teruskan, tetapi ini kuasa Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz), jadi Perdana Menteri pun rayu.

“Kita berilah kepada mereka yang amat terkesan untuk keluarkan simpanan masa depan mereka,” katanya.

Mengenai moratorium, Perdana Menteri berkata, pihak perbankan mempunyai kemampuan untuk melaksanakan lanjutan moratorium yang diberikan secara bersasar.

Katanya, tiada masalah bagi pihak perbankan melaksanakan kecairan (market liquidity) dalam sistem kerana ia boleh mendatangkan kerugian jika disimpan dalam keadaan perniagaan makin jatuh.

“Sehubungan itu lebih baik mereka sokongan perniagaan dengan memberikan lanjutan moratorium secara bersasar supaya perniagaan mampu berdiri dan bayar semula bagi memberi kebaikan dan faedah kepada bank.

“Sebab itu, Bank Negara menasihatkan bank supaya memberi perhatian dan jangan menolak sahaja selain bersedia berunding untuk lanjutan moratorium,” katanya. – BH

https://www.youtube.com/watch?v=r6vX38l81PE
(Visited 52 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0