WARGA EMAS KUDUNG PERLU KERUSI RODA AUTOMATIK, RAYU BANTUAN

WARGA EMAS KUDUNG PERLU KERUSI RODA AUTOMATIK, RAYU BANTUAN

Oleh Abu Hanifah Muhamad

JOHOR BAHRU 091020 – Ujian hidup dilalui setiap manusia berbeza-beza mengikut keadaan.

Bagi Misdi Jumali, 71, dugaan hidupnya amat besar pada penghujung usia namun bertuah kerana anak angkatnya, Siti Suhana Abdullah, 35, sudi menjaga dan menguruskan segala keperluan hariannya.

Misdi yang tinggal bersama-sama keluarga anak angkatnya di Taman Universiti, Skudai di sini ketika ini hanya terlantar selepas kedua-dua kakinya dipotong akibat kencing manis.

Warga emas itu turut menghidap kencing manis, darah tinggi, masalah jantung dan kanser usus sejak enam tahun lalu.

Selain bapa angkat, Siti Suhana turut menjaga anak sulungnya, Iskandar Zulkarnain Azwan Isaidi, 12, disahkan menghidap kanser darah dan limfoma April tahun lalu.

“Kaki bapa angkat saya terpaksa dipotong pada 18 September lalu akibat diabetes. Kaki kiri pula dua tahun lalu dipotong selain buta sebelah kiri.

“Dia kini tak ada kedua-dua kaki. Kami sekeluarga uruskan sebab dia tidak mampu bergerak akibat kesihatan semakin teruk,” katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan Pasaraya Econsave disampaikan Pengurus Besar Wilayah Selatan, Mas Imran Adam di kediamannya hari ini.

Siti Suhana berkata, keperitan hidup mereka amat terbeban apatah lagi suaminya hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan kurang RM2,000.

Jelas ibu kepada lima cahaya mata itu, dia turut membantu keluarga dengan bekerja sambilan dari rumah dengan mengambil tempahan menjual tudung dalam talian bagi meringankan beban suami.

“Isi rumah seramai sembilan orang, saya, suami, lima orang anak berusia 6 bulan hingga 12 tahun serta ibu dan ayah angkat saya,” katanya.

Katanya, perbelanjaan untuk menguruskan bapa angkatnya sudah mencecah RM3,000 sebulan termasuk ulang-alik rawatan dialisis serta lampin pakai buang.

Mereka sekeluarga amat berharap agar orang ramai tampil membantu terutamanya untuk membeli kerusi roda automatik bagi memudahkan pergerakkan Misdi.

Kata Siti Suhana, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) membantu meringankan beban dengan bantuan bulanan dialisis selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKN) menyumbang kerusi roda biasa.

Sementara itu, Mas Imran berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu meringankan beban keluarga Siti Suhana.

“Kita menyalurkan bantuan seperti lampin pakai buang serta barang keperluan harian dan berharap bantuan ini dapat meringankan beban Siti Suhana sekeluarga,”katanya.
Orang ramai yang berbesar hati untuk membantu keluarga Siti Suhana boleh menghubunginya menerusi talian 019-7431909. – JT

(Visited 8 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: