UMNO NAFI KELUAR SURAT SOKONG ANWAR JADI PM

UMNO NAFI KELUAR SURAT SOKONG ANWAR JADI PM

KUALA LUMPUR: UMNO menafikan ada mengeluarkan surat untuk menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi Perdana Menteri, sekali gus menegaskan kandungan ditularkan itu sebagai palsu.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan, berkata Pejabat Presiden parti itu tidak pernah mengeluarkan surat berkenaan.

“Saya dan pegawai Pejabat Presiden yang selalu bertanggungjawab menyediakan segala surat-menyurat, serta ‘letterhead’ (kepala surat) tidak pernah dikeluarkan tanpa nombor rujukan.

“Penyebaran surat rasmi berkenaan sangat melampau dan mungkin dilakukan segelintir pihak yang berkepentingan serta berniat jahat bertujuan merosakkan imej Presiden UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, penafian terhadap kandungan surat berkenaan turut dimaklumkan melalui portal rasmi parti, UMNO Online, hari ini.

“UMNO menafikan sekeras-kerasnya surat yang tular kononnya menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kesembilan.

“Justeru, UMNO berharap agar ahli mahupun rakyat tidak mudah terpengaruh dengan fitnah yang cuba dilemparkan pihak tertentu,” menurut makluman dalam portal itu.

Terdahulu, sepucuk surat bertarikh 11 Oktober lalu menggunakan kepala surat UMNO, tersebar hari ini, kononnya ditulis oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kepada Yang di-Pertuan Agong, antara lain menyatakan sokongan Ahli Parlimen UMNO kepada Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson sebagai calon Perdana Menteri kesembilan. – BH

(Visited 11 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: