SERONOK BERPARTI LIAR, 31 DITAHAN

SERONOK BERPARTI LIAR, 31 DITAHAN

ISKANDAR PUTERI – Keseronokan 31 individu mengadakan parti liar ‘terencat’ apabila mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di Medini Utara, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri melakukan serbuan pertama jam 7.30 petang di sebuah rumah.

“Dalam serbuan itu polis menahan seramai 21 orang, iaitu 11 lelaki dan 10 wanita warga tempatan berumur antara 18 hingga 30 tahun.

“Dalam serbuan kedua jam 8.30 malam, IPD Iskandar Puteri sekali lagi membuat serbuan di kawasan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam serbuan berkenaan seramai 10 lagi individu ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita warga tempatan berumur antara 18 hingga 30 tahun.

Pihak polis merampas dua buah lampu strobe dan dua buah speaker dalam kedua-dua serbuan berkenaan.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan ganja Tetra Hydrocannibol (THC),” katanya.

Kesemua suspek ditangkap kerana melanggar Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 11(1) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPP). – JT

https://www.youtube.com/watch?v=uYcNEdjIinE
(Visited 3088 times, 2 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: