SEKOLAH TUTUP SEMINGGU JIKA ADA KES POSITIF COVID-19

SEKOLAH TUTUP SEMINGGU JIKA ADA KES POSITIF COVID-19

KUALA LUMPUR: Semua sekolah yang mempunyai kes positif COVID-19 perlu ditutup oleh Kementerian Pendidikan selama tujuh hari, tanpa perlu menunggu analisis keselamatan Kementerian Kesihatan.

Kementerian Pendidikan menerusi kenyataan berkata, arahan berkenaan diputuskan Mesyuarat Khas, Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Kenyataan itu menjelaskan, ia susulan trend peningkatan kes COVID-19 di seluruh negara sejak kebelakangan ini.

“Penutupan berkenaan bertujuan membolehkan kerja pembersihan, nyahkuman dan pengesanan kontak rapat dijalankan Kementerian Kesihatan.

“Dalam hal ini, sekolah yang mempunyai kes positif COVID-19 perlu mematuhi garis panduan penutupan sekolah yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan,” kata kenyataan itu, malam ini.

Sejak sekolah dibuka semula pada 24 Jun lalu, keputusan untuk menutup kelas atau sekolah adalah berdasarkan arahan daripada Kementerian Kesihatan.

Di sepanjang tempoh itu, sekiranya Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mengesan terdapat kes positif COVID-19 dalam kalangan murid, guru dan warga sekolah, PKD akan membuat analisis risiko secara menyeluruh ke atas jangkitan kes berkenaan.

Berdasarkan analisis risiko ini, Kementerian Kesihatan melalui PKD akan mengeluarkan arahan sama ada, kelas dan bangunan ditutup atau keseluruhan sekolah perlu ditutup.

Sementara itu, kenyataan terbabit berkata, murid sekolah berasrama di dalam zon merah perlu kekal di asrama masing-masing.

“Perintah ini turut terpakai ke atas murid sekolah berasrama di zon hijau, tetapi mempunyai keluarga yang menetap di zon merah,” kata kenyataan itu.

Kementerian Pendidikan menjelaskan, sepanjang tempoh penutupan sekolah, pentadbir diarah memastikan guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

“Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my,” kata kenyataan itu. – BH

(Visited 15 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: