RM200 JUTA NAIK TARAF KEMUDAHAN PULAU SIBU, PULAU BESAR

RM200 JUTA NAIK TARAF KEMUDAHAN PULAU SIBU, PULAU BESAR

Oleh Abu Hanifah Muhamad

MERSING – Peruntukan RM200 juta akan dimohon dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk menaik taraf kemudahan di Pulau Sibu dan Pulau Besar dalam usaha memberi keselesaan dan menarik lebih ramai pelancong.

Pegawai Daerah Mersing, Asman Shah Abd. Rahman berkata, dana tersebut untuk menyediakan bekalan air dan utiliti di kedua-dua pulau berkenaan.

“Kita akan mohon peruntukan ini daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dalam masa terdekat. Dua pulau tersebut diberi keutamaan kerana dekat dengan bandar Mersing.

“Terdapat 93 buah pulau di Mersing dan hanya lima pulau mempunyai penghuni dan dibangunkan sebagai destinasi pelancongan,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2020 di Dataran Mersing, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kanan Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghappar dan Timbalan Pengarah Tourism Johor, Afzan Azhari.

Pihaknya juga merancang membangunkan pulau lain yang mempunyai keistimewaan tersendiri seperti Pulau Rawa yang memiliki dasar laut yang menarik untuk aktiviti menyelam.

Ini termasuk Pulau Tinggi yang sesuai untuk pelbagai kegiatan riadah dan pelancongan manakala Pulau Pemanggil untuk aktiviti memancing.

Sementara itu, Dr. Ammar berkata, industri pelancongan Johor terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan Malaysia-Singapura.

Katanya, terdapat 10 hotel di Johor iaitu lapan di Johor Bahru dan dua di daerah ini ditutup kerana tidak dapat bertahan akibat COVID-19.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelancongan domestik dengan menarik rakyat tempatan untuk melancong di negeri ini dan tidak perlu bergantung kepada pelancong terutamanya dari Singapura yang merupakan penyumbang utama sebelum ini.

Menurutnya, pakej menarik dengan menyasarkan penjawat awam dari negeri lain untuk melancong ke Johor sudah pun dilancarkan dan mendapat maklum balas yang positif.

“Ini kerana mereka kurang terkesan dengan pandemik COVID-19 berbanding mereka yang bekerja swasta,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau sedang berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk memberikan insentif kepada pengusaha pelancongan di negeri ini dalam membantu mereka untuk terus bertahan.

Insentif itu akan diberikan minggu depan sebelum disalurkan menerusi persatuan-persatuan pelancongan untuk diagihkan kepada pengusaha pelancongan yang berdaftar di bawah mereka. – JT

(Visited 3 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: