PKP SEMULA AKAN BUNUH INDUSTRI PELANCONGAN

PKP SEMULA AKAN BUNUH INDUSTRI PELANCONGAN

Oleh Abu Hanifah Muhamad

MERSING – Industri pelancongan bakal lumpuh termasuk lebih banyak hotel dan resort ditutup jika kerajaan menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Kanan Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghappar berkata, ketika ini industri pelancongan tempatan baru ‘hidup’ semula selepas beberapa bulan terjejas akibat PKP.

“Sekiranya dikuat kuasa semula akan membuatkan orang ramai takut untuk keluar termasuk melancong dalam negara, sekali gus merencatkan ekonomi yang bergantung dengan sektor pelancongan.

“Jadi, kita berharap keputusan untuk melaksanakan PKP akan dipertimbangkan semula kerana bukan sahaja pengusaha pelancongan akan terjejas tetapi pekerja-pekerja mereka akan hilang sumber pendapatan atau pekerjaan ,” katanya selepas melakukan pemeriksaan prosedur operasi standard (SOP) di Twin Beach Resort, Pulau Sibu di sini hari ini.

Turut mengiringi beliau, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Solehuddin Ahmad dan Timbalan Pengarah Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Abdul Rahim Harun.

Pada 1 Oktober lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapannya dalam akaun Twitter beliau kepada seorang pengguna menimbulkan persoalan kerana seakan-akan memberi bayangan PKP akan dilaksanakan semula.

Ammar berkata, bagi kawasan yang dikategorikan zon merah, pengusaha hotel, resort atau homestay perlu menghentikan perkhidmatan mereka untuk sementara waktu sehingga keadaan kembali pulih dan orang ramai juga perlu menangguhkan perjalanan mereka.

“Dalam tempoh itu sementara menunggu keadaan kembali stabil, pengusaha hotel atau resort boleh memberikan kursus untuk meningkatkan kemahiran pekerja selain menyediakan pelan atau rangka kerja sebagai persediaan membuka semula perkhidmatan mereka,” katanya.

Menurutnya, dalam masa sama, Tourism Malaysia akan memberikan bimbingan dan membantu bagi memastikan mereka terus berdaya tahan bagi mengelakkan perniagaan ditutup.

“Kita juga banyak bertemu dengan pengusaha dan memberikan galakan, pandangan serta nasihat selain mengetahui masalah yang ada supaya pengusaha tidak merasa kerajaan mengabaikan mereka,” katanya. – JT

(Visited 1 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: