PENDUDUK KG. SG. RINTING C DIANCAM PENCEMARAN TOKSIK

PENDUDUK KG. SG. RINTING C DIANCAM PENCEMARAN TOKSIK

PASIR GUDANG – Kira-kira 1,000 penduduk Kampung Sungai Rinting C dan kawasan berdekatan merayu pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah pencemaran bau yang dihadapi mereka sejak kelmarin.

Penduduk setempat percaya pencemaran bau tersebut adalah sisa toksik kilang yang dibuang dari sebuah tapak pembuangan sampah haram seluas kira-kira 500 meter berhampiran kampung itu.

Menurut Khanafi Sudin, 39, sejak beberapa hari lalu mereka merasa loya, pening dan demam kerana bau sisa pencemaran dibuang di tapak itu yang kurang 80 meter dari rumah mereka.

“Apabila penduduk melakukan pemeriksaan di tapak pelupusan sampah haram itu, kita menemukan pelbagai bekas dipercayai bahan toksik termasuk tanah-tanahnya berwarna kelabu.

“Ada sisa buangan itu mengeluarkan asap sejak kelmarin dan baunya sangat busuk seperti bau asid sampaikan penduduk berdekatan terpaksa menutup pintu dan tingkap tetapi baunya masih ada,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dia berkata, sebelum ini pihak bomba ada datang melakukan pemeriksaan dan memusnahkan bahan kimia tersebut tetapi perbuatan membuang sisa buangan berbahaya terus berlaku di kawasan itu.

Katanya, pihak bomba yang melakukan pelupusan bahan berkenaan mengakui terdapat sisa buangan tersebut adalah bahan kimia berbahaya.

Seorang lagi penduduk, Zainal Abidin, 31, berkata, biasanya lori akan datang membuang sisa buangan terutama sebelah malam selepas penduduk tidur bagi mengelak disedari masuk ke kawasan itu.

Menurutnya, pelbagai aduan sudah dilakukan kepada pihak berkenaan dan lebih menakutkan terdapat sebuah sekolah rendah dan bengkel besi buruk bersebelahan tapak pembuangan tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh yang melawat tapak pelupusan sampah haram itu berkata, pihaknya akan melaporkan perkara itu kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPGG), Pejabat Tanah dan Kementerian Kesihatan.

Che Zakaria berkata, tindakan segera perlu diambil termasuk siasatan dari mana sisa buangan tersebut datang kerana amat berbahaya berikutan tapak pembuangan sampah haram itu begitu hampir dengan penempatan dan Sungai Rinting.

“Tindakan perlu diambil terhadap mereka yang membuang sisa buangan berbahaya ini mengikut akta yang ada di bawah JAS. Pejabat Tanah juga perlu menyiasat pemilik tapak pembuangan sampah haram itu dan status bengkel berdekatan,” katanya. – JT

(Visited 18 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: