MAINJ AGIH RM476,300 KEPADA 4,763 ANAK YATIM

MAINJ AGIH RM476,300 KEPADA 4,763 ANAK YATIM

KULAI – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengagihkan RM476,300 hasil kutipan fidyah kepada 4,763 anak yatim di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, sejak awal tahun hingga kini, Bahagian Baitulmal berjaya mengutip hasil wang amanah fidyah sebanyak RM5.3 juta.

Jumlah tersebut melepasi sasaran RM3 juta untuk dimanfaatkan golongan asnaf sebagai nilai tambah daripada bantuan sedia ada.

“Sekalipun kutipan dana zakat semakin bertambah, namun jumlah penerima bantuan semakin meningkat disebabkan kitaran tuntutan hidup yang dipengaruhi oleh tidak ketentuan sosioekonomi semasa antaranya pandemik COVID-19, kesan ekonomi global dan peningkatan kos sara hidup.

“MAINJ adalah antara badan berkanun yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan negeri bagi menyelaras, menyelenggara serta memberikan bantuan kepada golongan daif termasuk dari sumber hasil bayaran fidyah umat Islam di negeri ini,” katanya selepas Majlis Sumbangan Fidyah Kepada Anak-anak Yatim dan Miskin Dalam Jagaan Keluarga Negeri Johor di Le Grandeur Palm Resort, Senai di sini hari ini.

Turut hadir Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad; Penasihat MAINJ, Datuk Noh Gadot dan Ketua Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan MAINJ, Khirul Nizam Mat Said.

Menurutnya, pungutan fidyah dikelolakan menerusi kaunter zakat di seluruh negeri dan disimpan dalam sebuah akaun Khas Fidyah di bawah kelolaan Bahagian Baitulmal MAIJ sebelum diagihkan kepada golongan fakir dan miskin.

Katanya, di Johor, anak-anak yatim memiliki rumah perlindungan yang dikendalikan badan kebajikan bukan kerajaan bagi memastikan kehidupan mereka terbela.

Sebanyak sembilan pusat penjagaan atau dikenali sebagai Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam di semua daerah menjadi tumpuan dan sandaran kepada keluarga yang tidak mampu menanggungnya, katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai. – JT

(Visited 17 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: