http://johortimes.my/wp-content/uploads/2020/10/111-106-914x675.jpg
in

KILANG DISYAKI PUNCA PENCEMARAN AIR

KILANG DISYAKI PUNCA PENCEMARAN AIR

KUALA SELANGOR: Kementerian Alam Sekitar dan Air mengenal pasti tiga kawasan kilang yang disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Gong, hingga menyebabkan gangguan bekalan air di tujuh kawasan di Lembah Klang.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata siasatan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pula mengesan bau solven yang hampir sama dengan pencemaran di Sungai Gong, awal bulan lalu.

Katanya, tempat pencemaran kali ini berbeza berbanding bulan lalu dan masih awal untuk membuat kesimpulan punca sebenar pencemaran.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah mengambil sampel air tercemar dan menghantarnya ke makmal. Cuma kita sedang siasat dari mana punca pencemaran ini.

“Pencemaran kali ini tidak begitu serius, dan kita sudah mengenal pasti dua hingga tiga kawasan kilang yang akan menjadi fokus siasatan.

“Kementerian tidak akan berkompromi dengan pencemar ini dan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk polis, kami yakin boleh mengambil tindakan terhadap penjenayah alam sekitar ini dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian.

Terdahulu, Air Selangor memaklumkan loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas awal pagi tadi, susulan pencemaran bau yang dikesan di Sungai Selangor.

Ditanya sama ada kilang yang disyaki itu beroperasi secara haram, Tuan Ibrahim berkata, kilang yang dilesenkan oleh kementerian biasanya tidak terbabit dengan pencemaran kerana mereka dipantau.

Tuan Ibrahim berkata, pencemaran sungai kerap berlaku waktu tengah malam atau hujung minggu.

Walaupun anggota JAS beroperasi selama 24 jam, katanya, mustahil untuk memantau seluruh sungai sepanjang masa kerana membabitkan kawasan luas serta faktor geografi.

Katanya, kementerian itu memohon peruntukan dalam Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk menambah kakitangan serta peralatan, meningkatkan sistem pemantauan dan loji.

“Kita akan menambah kakitangan dan bekerjasama dengan polis. Kita juga mohon peruntukan untuk tambah peralatan, sistem amaran awal serta menambah baik sistem pemantauan dan loji,” katanya. – BH

(Visited 38 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0