JUMPA WANG TUNAI RM2.5 JUTA HASIL PELACURAN, MACAU SCAM

JUMPA WANG TUNAI RM2.5 JUTA HASIL PELACURAN, MACAU SCAM

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman merampas wang tunai berjumlah RM2.5 juta dalam serbuan ke atas sebuah kediaman di Cheras, di sini, malam tadi.

Wang tunai berkenaan yang dipercayai disimpan untuk proses pengubahan wang haram adalah hasil daripada kegiatan mempromosikan aktiviti pelacuran secara dalam talian di negara China.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata terdahulu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman menyerbu satu unit kediaman di sebuah kondominium di Bandar Hussein Onn, Kajang, sekitar jam 2 petang semalam.

“Hasil serbuan pertama itu, pihak polis menahan lapan warga China termasuk seorang wanita berusia antara 22 hingga 28 tahun selain merampas dua komputer riba, 15 telefon bimbit dan dua kertas catatan jadual kerja harian.

“Siasatan awal mendapati kediaman berkenaan dijadikan sebagai ‘calling centre’ untuk mempromosikan aktiviti pelacuran untuk pelanggan di China,” katanya malam tadi.

Beliau berkata sindiket yang turut bekerjasama dengan rakyat tempatan itu turut dipercayai menjalankan aktiviti penipuan dalam talian atau Macau Scam.

“Susulan dari serbuan pertama itu, polis kemudian menyerbu sebuah kediaman di Jalan Desa Bukit Tiara, Taman Taynton View, Cheras dan menahan lapan lagi individu.

“Dalam serbuan ini pihak polis menemui wang tunai sebanyak RM2.5 juta yang disimpan dalam beberapa bagasi di beberapa bilik berasingan,” katanya.

Huzir berkata pihaknya percaya wang berkenaan akan digunakan untuk aktiviti pengubahan wang haram namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Kalau wang tunai ini adalah dari hasil yang sah mereka pastinya menyimpannya di bank atau agensi kewangan yang sah, namun apabila mereka menyimpannya dalam rumah ini berkemungkinan wang dari aktiviti yang salah,” katanya.

Dalam serbuan kedua itu pihak polis merampas tiga komputer riba, empat telefon bimbit serta sejumlah kecil pil dipercayai dadah.

Katanya, pihak polis juga mengesan adanya aktiviti pelaburan jenis mata wang krypto dalam komputer riba yang dirampas.

“Polis juga yakin sindiket ini menjadikan negara ini sebagai hub panggilan serta menjadikan dua rakyat Malaysia sebagai koordinator bagi menyediakan kelengkapan komputer, kediaman, untuk melancarkan aktiviti promosi pelacuran, penipuan serta judi dalam talian untuk sasaran mangsa di China,” katanya. – BH

(Visited 10 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: