JOHOR TELITI SEMULA WAKTU PERNIAGAAN

JOHOR TELITI SEMULA WAKTU PERNIAGAAN

JOHOR BAHRU: Johor akan meneliti semula waktu operasi premis perniagaan di seluruh negeri ini sama ada ia perlu dipendekkan atau dikekalkan, susulan penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil, berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat khas bagi menyemak semula waktu operasi perniagaan di negeri ini berikutan timbul kebimbangan awam mengenai penularan COVID-19.

Katanya, pihaknya juga akan mendapatkan nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara sebelum mengambil sebarang keputusan.

“Setakat ini, kerajaan Johor belum membuat keputusan berkenaan waktu perniagaan di negeri ini, namun kita akan teliti semula berdasarkan jumlah kes semasa dalam sehari dua ini.

“Sebarang keputusan lanjut akan diumumkan selepas mesyuarat khas berkenaan pada Ahad ini,” katanya ketika dihubungi.

Ayub mengulas sama ada kerajaan Johor mahu memendekkan waktu operasi premis perniagaan berikutan peningkatan jumlah jangkitan COVID-19 di negeri ini yang mencecah 20 kes.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor melaporkan terdapat dua kawasan dikategorikan zon kuning COVID-19 iaitu Plentong (10 kes) dan Tebrau (empat kes).

Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan (PKP) pada Mac lalu, waktu operasi bagi kedai makan, kedai serbaneka di stesen minyak dan kedai runcit serbaneka 24 jam di Johor adalah dari 7 pagi hingga 7 malam sahaja.

Namun waktu operasi perniagaan di Johor dipanjangkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan memberi kelonggaran pembukaan sektor perniagaan lain seperti pasar malam dan pasar tani. – BH

(Visited 4 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: