JOHOR CATAT 9,485 KES DEMAM DENGGI

JOHOR CATAT 9,485 KES DEMAM DENGGI

JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor melaporkan 9,485 kes demam denggi di negeri ini dari awal tahun hingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyanathan berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 8.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dengan jumlah 8,740 kes.

“Daripada jumlah kes yang dilaporkan dari minggu pertama hingga minggu epid ke-40 iaitu minggu ini, 5,027 kes atau 53 peratus dilaporkan dari lokaliti wabak dan 4,458 kes (47 peratus) dari lokaliti bukan wabak.

“Pada minggu epid ke-40 juga 238 kes demam denggi dilaporkan. Bilangan ini menurun sebanyak 8.8 peratus berbanding minggu sebelumnya iaitu minggu epid ke-39 dengan 261 kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, Johor Bahru adalah daerah dengan kes tertinggi iaitu sebanyak 79 peratus diikuti Kulai (7.1 peratus), Pontian (4.2 peratus), Batu Pahat (2.9 peratus), Tangkak (2.1 peratus) dan Kota Tinggi (1.7 peratus).

Beliau memberitahua, ini diikuti Muar (1.3 peratus), Mersing (0.8 peratus), Segamat (0.4 peratus) dan Kluang (0.4 peratus).

“Daerah yang menunjukkan peningkatan jika dibandingkan dengan minggu ke-39 adalah Kulai, Muar dan Tangkak,” katanya.

Jelasnya, pada minggu epid ke-40, sebanyak 31 lokaliti wabak baharu dilaporkan iaitu di daerah ini (27), Kulai (3) dan Pontian (1).

Katanya, terdapat 96 lokaliti wabak denggi yang masih aktif di daerah ini (86; 89.6 peratus), Kulai (5; 5.2 peratus), Muar (2; 2.1 peratus), Batu Pahat (1; 1 peratus), Pontian (1; 1 peratus) dan Mersing (1; 1 peratus).

Jumlah terkumpul lokaliti wabak di Johor sehingga minggu epid ke-40 adalah 1,409 berbanding 1,128 dalam tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 24.9 peratus, katanya.

“Terdapat satu kematian denggi dilaporkan pada minggu epid ke-40 bagi seluruh negeri. Kumulatif kes kematian denggi sehingga minggu epid ke-40 adalah sebanyak 35 kes,” ujarnya.

Jumlah berkenaan katanya, meningkat 52.2 peratus jika dibandingkan dalam tempoh yang sama tahun lalu iaitu 23 kes. – JT

(Visited 4 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: