JOHOR AKAN TERUS BINA KEDIAMAN UNTUK BUMIPUTERA DI KAWASAN BANDAR

JOHOR AKAN TERUS BINA KEDIAMAN UNTUK BUMIPUTERA DI KAWASAN BANDAR

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan terus membina kediaman dan premis perniagaan khusus bagi kaum Bumiputera di bandar bagi menjamin kelangsungan mereka di kawasan berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, usaha itu dilakukan dengan kerjasama anak syarikat kerajaan negeri seperti PIJ Holdings Sdn Bhd (PIJ Holdings) yang membangunkan Taman Perbadanan Islam (TPI) di atas tanah rizab Melayu bagi menjamin orang Melayu negeri ini mampu memiliki hartanah di kawasan bandar.

“Tahniah kepada PIJ Holdings kerana komited dan berjaya melaksanakan projek ini untuk menyediakan rumah mampu dimiliki khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Walaupun namanya rumah mampu biaya tetapi kualitinya amat bermutu tinggi, setanding rumah kos sederhana dan mewah yang dibangunkan oleh pemaju swasta.

“TPI Stulang Baru ini adalah TPI ke-4 yang dibangunkan oleh PIJ Holdings selepas TPI pertama di Kebun Teh 30 tahun lalu. Komitmen berterusan yang ditunjukkan oleh PIJ Holdings harus dijadikan contoh terbaik.

“PIJ Holdings bercadang untuk membina beberapa lagi TPI di beberapa lokasi strategik bermula tahun depan, iaitu TPI Teluk Permata, TPI Pontian, TPI Rengit dan TPI Bakar Batu,” katanya semasa merasmikan Majlis Pengundian Terbuka Rumah Mampu Biaya C, Penyampaian Sijil Layak Memiliki Rumah dan Penyampaian Sijil Layak Penyewaan di TPI Stulang Baru, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.

TPI Stulang Baru membabitkan pembangunan Rumah Mampu Biaya Johor Jenis A (120 unit), B (99 unit) dan C (108 unit) dengan harga maksimum RM150,000, selain inkubator empat tingkat (43 unit) sebagai unit perniagaan untuk usahawan Bumiputera. – JT

(Visited 12 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: