ISU SEMPADAN SENTIASA, TERUS DIBINCANGKAN – TOK PA

ISU SEMPADAN SENTIASA, TERUS DIBINCANGKAN – TOK PA

JOHOR BAHRU – Kerajaan tetap meneruskan perbincangan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura walaupun kes COVID-19 di negara ini meningkat sejak beberapa hari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamad berkata, usaha itu perlu diambil kerana penutupan sempadan memberi kesan terhadap ekonomi negara terutamanya Johor.

“Kita sedia maklum Johor terkesan dengan penutupan sempadan ini telah dibangkitkan beberapa kali oleh Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad. Ini satu perkara yang sentiasa dibincangkan di peringkat Pusat.

“Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara Isnin lalu membincangkan topik pelancongan dengan 50 peratus merupakan pelancong dari Singapura, ini juga dibincangkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di Rumah Pangsa Larkin, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohd. Solihan Badri.

Katanya, penutupan sempadan menyebabkan dua perkara utama, iaitu ketiadaan kemasukan warga Singapura dan menjejaskan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Keadaan itu menyebabkan rakyat Singapura tidak boleh masuk melancong dan membeli-belah di Johor, manakala rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu hilang punca pendapatan.

“Kita cukup faham COVID-19 ini mempunyai banyak risiko dan menimbulkan banyak masalah, namun perlu ada keseimbangan antara ekonomi dan kesihatan,” katanya.

Sehubungan itu kerajaan berharap pembukaan sempadan dapat dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dalam usaha untuk memulihkan ekonomi negara. – JT

(Visited 3 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: