https://johortimes.my/wp-content/uploads/2020/10/111-103-506x675.jpg
in

ISTERI PELIK, KELIRU DENGAN KEMATIAN SUAMI

ISTERI PELIK, KELIRU DENGAN KEMATIAN SUAMI

JOHOR BAHRU – Isteri kepada pekerja Malaysia di Singapura yang maut dipercayai terjatuh dari tingkat lapan apartmentnya di republik itu, Khamis lalu keliru dan hairan dengan berita kematian suaminya.

Ini kerana K. Uma, 35, mendakwa suaminya, M. Jeetendra, 36, tidak mempunyai sebarang masalah termasuk kewangan dan hutang dengan ah long serta tekanan tempat kerja sehingga timbul dakwaan mangsa dikatakan telah membunuh diri.

Malah, dia memberitahu suaminya sempat membuat panggilan video kepadanya beberapa jam sebelum kejadian tersebut dan tidak menunjukkan perangai ganjil atau pelik.

“Saya keliru dengan cara kematian suami sedangkan dia baik-baik sahaja ketika berbual dengan saya dan anak sebelum dia ditemukan meninggal dunia.

“Namun, saya juga musykil apabila dia hantar mesej nombor kecemasan yang perlu kami hubungi jika berlaku sebarang kejadian terhadapnya beberapa jam sebelum kejadian berlaku.

“Bagaimanapun, kami sekeluarga menyerahkan siasatan kepada pihak polis Singapura untuk melihat sebarang kemungkinan punca kematian suami di negara itu,” katanya ditemui di rumahnya di Taman Kobena di sini hari ini.

Kelmarin tular dalam media sosial apabila mangsa yang berkerja di sebuah syarikat kurier sebagai penyelia di Bukit Batok ditemukan terbaring di bawah apartmentnya dua hari lalu.

Pekerja berkenaan meninggalkan isteri dan seorang anak perempuan, Yogashini, 4, disemadikan dengan upacara keagamaan Hindu di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Petugas Khas Pekerja Malaysia di Singapura (Pemas), S. Dayalan berkata, pihaknya menggesa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa siasatan khas susulan kejadian kematian membabitkan pekerja Malaysia di negara itu.

Katanya, ini termasuk kejadian dua kes bunuh diri yang berlaku sejak pandemik COVID-19 melanda selepas pintu sempadan Malaysia-Singapura ditutup.

“Perkara ini kena siasat, mengapa mereka bunuh diri? Adakah sebab tertekan hidup dibuang kerja atau tekanan beban kerja di sana,” katanya.

Sebelum ini, bekas tukang masak mengantung diri di kediamannya di Kluang, manakala kes kedua pula membabitkan rakyat Malaysia yang bekerja sebagai polis bantuan di negara dikatakan menembak diri sendiri. – JT

https://www.youtube.com/watch?v=r6vX38l81PE
(Visited 652 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0