HALATUJU PARTI AKAN DIPUTUSKAN BERSAMA – ZAHID

HALATUJU PARTI AKAN DIPUTUSKAN BERSAMA -ZAHID

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara berkaitan isu hala tuju parti adalah isu penting, justeru tidak sesuai untuk beliau bercakap atau memutuskannya tanpa persetujuan bersama pimpinan parti.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid meminta pemimpin parti memberi pandangan apabila isu berhubung hala tuju parti selepas Pilihan Raya Sabah (PRN) akan dibincangkan di dalam Biro Politik UMNO dan dibawa ke Majlis Tertinggi UMNO.

“Ini soal penting. Tidak sesuai saya bercakap atau memutuskannya tanpa persetujuan bersama.

“Kita sedang melakukan post mortem menyeluruh. Pimpinan parti boleh beri pandangan,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Beliau dipercayai mengulas kenyataan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan pagi tadi yang menggesa Ahmad Zahid memberi pedoman dan hala tuju jelas kepada parti berhubung kerjasama dengan pesaing politiknya berikutan pendekatan sedia ada dikatakan hanya mengecilkan peranan dan melemahkan UMNO.

Mohamad berkata, keadaan itu terlihat daripada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini menyaksikan UMNO yang menguasai Sabah selama 27 tahun, bertukar menjadi pemain politik terpencil dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sehubungan itu, katanya, UMNO perlu memikirkan semula strategi dan kerjasama politiknya, termasuk mempertimbang sama ada hanya perlu bersama PAS dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Apa yang berlaku di Sabah memerlukan UMNO memikirkan semula pendekatan politiknya. Jika Sabah dijadikan sandaran, kelangsungan, pengaruh dan keterlihatan UMNO akan terus terjejas dalam jangka masa pendek dan akhirnya melemahkan UMNO dalam jangka waktu panjang.

“Pengorbanan UMNO memberikan kerusi terkuatnya kepada parti tertentu telah menjejaskan kekuatan UMNO secara signifikan.

“Lebih menyedihkan, UMNO terpaksa berhadapan dengan calon Bebas yang ditaja pihak berkepentingan untuk melemahkan UMNO. Janji yang dimeterai berkaitan portfolio Kabinet pun hampir dimungkiri,” katanya. – BH

(Visited 3 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: