http://johortimes.my/wp-content/uploads/2020/10/810-DIPERCAYAI-BUNUH-ISTERI-ANAK-LELAKI-TIKAM-DIRI-SEMASA--1200x675.png
in

DIPERCAYAI BUNUH ISTERI & ANAK, LELAKI TIKAM DIRI SEMASA POLIS PECAH MASUK RUMAH

DIPERCAYAI BUNUH ISTERI & ANAK, LELAKI TIKAM DIRI SEMASA POLIS PECAH MASUK RUMAH

KUALA LUMPUR: Seorang wanita kelahiran Malaysia dan anak lelakinya ditemui mati di kediaman mereka di Brentford, Barat London, semalam.

Polis London memecah masuk ke dalam pangsapuri dihuni mangsa pada jam 1 pagi, dan menemui kanak-kanak berkenaan, Kailash Kuha Raj dan ibunya, Poorna Kaameshwari Sivaraj, 36, sudah meninggal dunia.

Pihak berkuasa percaya kedua-dua mangsa sudah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu.

Polis turut menemui suami Poorna, Kuha Raj Sithamparanathan, 42, bersama kesan tikaman dan walaupun usaha dilakukan untuk menyelamatkan beliau, lelaki itu meninggal dunia tidak lama kemudian. Dia juga dilahirkan di Malaysia.

Anjing peliharaan mereka dari baka cockapoo turut ditemui mati.

Akhbar The Sun UK melaporkan, polis tidak menolak motif kejadian sebagai bunuh diri.

Laporan itu juga menyebut, polis tidak mencari sebarang suspek lain dalam kejadian terbabit.

The Sun UK memetik Ketua Inspektor Simon Harding sebagai berkata, siasatan awal mendapati Poorna dan Kailash tidak kelihatan buat beberapa lama.

Akhbar tabloid itu juga memetik keterangan jiran yang berkata, mereka mendengar pasangan terbabit bertengkar sejak beberapa bulan lalu, ketika perintah berkurung akibat pandemik COVID-19 dilaksanakan.

Seorang penduduk, Jamila berkata, keadaan menjadi lebih buruk buat pasangan itu ketika perintah berkurung.

“Mereka adalah antara pasangan dengan anak kecil di blok kami dan anda boleh mendengar mereka saling menjerit antara satu sama lain, ada ketikanya dalam tempoh yang panjang,” katanya.

Polis bergegas ke kediaman mangsa selepas menerima panggilan seorang ahli keluarga, yang melahirkan kebimbangan mengenai Poorna apabila tidak melihat wanita itu sejak bulan lalu.

Menurut laporan, polis memecah masuk premis itu pada jam 12.50 pagi Selasa.

“Kuha dipercayai menikam dirinya sendiri apabila pihak berkuasa berjaya memasuki kediaman terbabit,” kata laporan itu. – BH

(Visited 90 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0