DIDENDA RM6,000 BENARKAN PATI TINGGAL

DIDENDA RM6,000 BENARKAN PATI TINGGAL

KUALA TERENGGANU: Dua pemilik resort di Pulau Perhentian, Besut didenda RM6,000 setiap seorang di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku salah membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) tinggal di premis kepunyaan mereka.

Dua tertuduh, Lim Yik Tack, 46, dan Lee Pik Yeng, 45, turut berdepan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63(Akta 155) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) akta yang sama.

Mengikut pertuduhan, Yik Tack didakwa membenarkan seorang PATI warga Bangladesh berusia 42 tahun yang melanggar syarat pas untuk masuk atau tinggal di tempat tangkapan iaitu di sebuah jeti berhampiran sebuah resort di Pulau Perhentian, Kuala Besut, Besut jam 10.30 pagi pada 2 September lalu.

Bagi Pik Yeng pula, dia didakwa melakukan kesalahan sama dengan membenarkan seorang PATI warga Bangladesh berusia 38 tahun berada di sebuah resort di Pulau Perhentian, Kuala Besut, Besut, jam 11.30 pagi pada 2 September lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka berdepan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya bagi setiap PATI yang ditemui di dalam premis, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Terengganu, Noraznie Alias, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. – BH

(Visited 7 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: