8 KES DARIPADA KLUSTER KEMPAS

8 KES DARIPADA KLUSTER KEMPAS

JOHOR BAHRU 251020 – Lapan kes COVID-19 daripada Kluster Kempas di negeri ini dikesan hingga hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyanathan berkata, berikutan itu sebanyak 198 kontak melibatkan kluster baharu tersebut dikenal pasti di Johor dan beberapa negeri lain.

“Mereka dikenal pasti di Johor Bahru, Kulai dan Pontian selain di Selangor dan Melaka. Daripada jumlah ini, 28 adalah negatif manakala 170 masih lagi menunggu keputusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Susulan itu, pengesanan kontak dan ujian COVID-19 dijalankan dan mendapati tujuh lagi kes dikesan, iaitu dua kes merupakan kontak ahli keluarga dan lima kes merupakan kontak rakan sekerja.

Beliau berkata, tindakan kawalan dan pencegahan sudah dijalankan termasuk disinfeksi fasiliti kesihatan terbabit selain dinasihatkan untuk ditutup sementara siasatan diteruskan.

“Klinik Kesihatan yang dilawati kes indeks turut dijalankan disinfeksi dan dibuka seperti biasa. Punca jangkitan masih lagi dalam siasatan dan kluster dijangka tamat pada 20 November 2020,” katanya.

Kes indeks bagi kluster itu dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala di sebuah fasilti kesihatan pada 22 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajah Kalsom di Kluang.

Beliau memberitahu, hingga hari ini kumulatif kes COVID-19 di Johor berjumlah 852 kes, daripada jumlah itu 32 kes aktif, 799 kes sembuh dan 21 kematian dilaporkan setakat ini.

Dalam pada itu, pihaknya turut mengawasi perkembangan wabak itu di sekolah-sekolah dan sekiranya terdapat kes-kes positif, tindakan siasatan dan kawalan akan diambil segera pihak jabatan kesihatan.

Tindakan saringan kontak serta ujian COVID-19 akan dijalankan terhadap individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat serta arahan kuarantin dan pengasingan di rumah selama 14 hari.

Justeru, masyarakat tidak perlu khuatir keselamatan pelajar kerana sejarah kes COVID-19 di Johor dalam kalangan warga sekolah adalah rendah atas usaha dan tindakan awal yang diambil pihak sekolah dan jabatan terbabit.

Tambahnya, pihak pengurusan sekolah diingatkan untuk memastikan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar mengekalkan status risiko penularan Covid-19 yang rendah di persekitaran sekolah. – JT

(Visited 70 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: