4 NELAYAN DISELAMATKAN SELEPAS BOT KARAM

4 NELAYAN DISELAMATKAN SELEPAS BOT KARAM

JOHOR BAHRU – Empat nelayan tempatan terselamat selepas bot mereka dilanggar sebuah kapal dagang ikan di perairan Muar malam tadi.

Kejadian itu berlaku pada pukul 11 malam dan selepas dilanggar bot tersebut dimasuki air pada jam 5 pagi dan tenggelam perlahan-lahan.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, sebelum bot tenggelam semua mangsa bertindak terjun ke laut bagi menyelamatkan diri.

“Mereka terdiri daripada Goh Cheng Ho, 53, iaitu tekong, Abdul Rahman Chia Abdullah, 55, Abd. Rashid Salamat, 22, dan Johari Utoh, 38.

“Maritim Malaysia menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan Maritime Rescue Co-ordinating Centre (MRCC) yang memaklumkan Vessel Traffic Service (VTS) Klang menerima panggilan melaporkan kejadian orang jatuh laut di kawasan kira-kira 6.8 batu nautika barat daya muara sungai Batu Pahat.

“Panggilan diterima VTS Klang pada jam 9 pagi ini dilaporkan oleh sebuah kapal dagang lain melalui perairan Muar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, Maritim Johor Bahru kemudian memaklumkan kejadian terbabit kepada Zon Maritim Batu Pahat dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Batu Pahat untuk menyelamatkan mangsa.

Keempat-empat mangsa berumur antara 22 hingga 55 tahun ditemui dan diselamatkan pada pukul 11 pagi tadi selepas kira-kira enam jam terapung-apung di laut.

Semua mangsa dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Batu Pahat sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat bagi pemeriksaan kesihatan.

Sasatan awal mendapati bot mereka dilanggar sebuah kapal dagang tidak dikenali berhampiran laluan kapal di perairan itu. – JT

(Visited 6 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: