24 AHLI MAJLIS PBT DILANTIK HUJUNG BULAN INI

24 AHLI MAJLIS PBT DILANTIK HUJUNG BULAN INI

JOHOR BAHRU 241020 – Lantikan 24 Ahli Majlis untuk setiap 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini akan dilakukan pada 31 Oktober ini.

Pengerusi Jawantankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, jumlah keseluruhan seramai 384 Ahli Majlis itu telah dilantik secara berperingkat-peringkat sejak April lalu melibatkan dua fasa bagi membolehkan urusan PBT berjalan dengan lancar.

“Untuk lantikan Ahli Majlis bagi fasa pertama dilakukan selepas Ahli Majlis daripada parti PKR, DAP dan Amanah tamat perkhidmatan pada 31 Mac lalu manakala daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula berakhir 31Jun lalu.

“Lantikan Ahli Majlis PBT dilakukan pada fasa yang pertama melibatkan 66 individu dipilih daripada Barisan Nasional (BN) dan UMNO. Lantikan ini bagi memastikan urusan setiap 16 PBT boleh berjalan walaupun tidak mempunyai jumlah penuh 24 Ahli Majlis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, berdasarkan jumlah Ahli Majlis yang ada seramai lapan hingga sembilan individu bagi setiap PBT dari April hingga Ogos lalu, semua urusan di PBT tidak mempunyai masalah dan boleh beroperasi seperti biasa.

Kerajaan negeri katanya, kemudian melaksanakan perlantikan Ahli Majlis fasa kedua yang akan melibatkan 318 individu daripada Parti BN, Bersatu dan Pas.

Lantikan fasa kedua itu katanya, bagaimanapun dijalankan menerusi dua peringkat yang mana peringkat pertama 163 individu dilantik berkuat kuasa 23 September lalu hingga 31 Disember ini.

“Sementara itu, lantikan peringkat terakhir untuk fasa kedua akan dilaksanakan dalam masa terdekat melibatkan 155 individu lagi untuk melengkapkan jumlah 384 Ahli Majlis di semua PBT seluruh Johor.

“Bagi semua lantikan ini, pendekatan diambil bagi pembahagian jumlah Ahli Majlis mewakili parti politik terlibat adalah dengan mengambil kira pelbagai faktor antaranya mengenai kedudukan representasi setiap pihak di setiap kawasan. Perkara ini juga merujuk kepada kesesuaian pemilihan wakil bagi peringkat bahagian parti politik,” katanya.

Beliau berkata, sebarang keputusan berkaitan kaedah pembahagian Ahli Majlis dibuat berdasarkan rundingan sekali gus memastikan keharmonian serta menghormati kerjasama antara parti politik yang mendokong kerajaan negeri kini.

Tambahnya, kerajaan negeri di bawah Portfolio Pengerusi Perumahan dan Kerajaan tempatan melihat perkara itu sebagai satu keutamaan bagi memastikan pembangunan infrastruktur dan sosio budaya negeri ini dapat berjalan dengan efisyen serta mampan. – JT

(Visited 24 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: