TUN M: BUKAN KALI PERTAMA ANWAR DAKWA ADA SOKONGAN MAJORITI

TUN M: BUKAN KALI PERTAMA ANWAR DAKWA ADA SOKONGAN MAJORITI

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bukan pertama kali Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa memiliki sokongan Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Bercakap menerusi Zoom di Nutanix’s Asean CIO Virtual Summit, Dr Mahathir berkata, semua pihak perlu menunggu Ahli Parlimen Port Dickson itu membuktikan dakwaan sokongannya, memandangkan pada September 2008, beliau pernah membuat kenyataan sama.

“Kita harus tunggu untuk lihat apakah ini satu lagi episod membuat tuntutan yang tidak dapat dibuktikan,” katanya seperti dipetik portal The Edge Singapura.

Anwar, pada September 2008 pernah menyatakan memperoleh sokongan untuk membentuk kerajaan selepas Pakatan Rakyat tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, yang diadakan pada Mac tahun sama.

Barisan Nasional (BN) ketika itu diterajui Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri menang selepas mendapat 140 kerusi Parlimen, pertama kali gabungan itu hilang sokongan majoriti dua pertiga Parlimen.

Anwar pada sidang medianya yang berlangsung di ibu pejabat PKR ketika itu, menegaskan lebih daripada 31 Ahli Parlimen BN sudah menyertai Pakatan Rakyat dan menggesa Abdullah supaya tidak menguatkuasakan undang-undang darurat untuk menghalang peralihan kuasa.

Pada sidang media hari ini, Anwar sekali lagi mendakwa beliau mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Presiden PKR itu mendakwa, sokongan Ahli Parlimen itu daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kerajaan sedia ada, namun enggan mendedahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Katanya, beliau sudah diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 11 pagi semalam, namun ditangguhkan kerana baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN). – BH

(Visited 3 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: