TUBUH KOPERASI PELANCONGAN BANTU 100 AHLI

TUBUH KOPERASI PELANCONGAN BANTU 100 AHLI

MUAR – Persatuan Pelancongan Daerah Muar (Muar Tourism) akan menubuhkan Koperasi Pelancongan Daerah khusus untuk hampir 100 ahlinya yang akan berperanan meningkatkan pendapatan mereka menerusi pelaburan perniagaan koperasi.

Pengerusi Muar Tourism, Sallehudin Satar berkata, pada permulaan koperasi itu akan terlibatkan dalam perniagaan berteraskan produk pelancongan bersekala sederhana.

“Kerajaan menyediakan peruntukan RM500 juta untuk membantu rakyat yang berminat melibatkan diri dalam perniagaan secara berkoperasi.

“Justeru, Muar Tourism juga tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini,” katanya selepas Mesyuarat Agung Muar Tourism di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Muar di sini hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Pegawai Daerah, Datuk Mohd. Hafiz Ahmad yang juga penaung Muar Tourism.

Seramai 64 daripada 81 pengusaha pelancongan yang berdaftar dengan persatuan tersebut hadir dalam mesyuarat tahunan itu.

Sallehudin berkata, selain pinjaman, kerajaan juga menyediakan bantuan geran perniagaan dan memberi keutamaan kepada koperasi yang berminat menjalankan perniagaan dengan syarat perniagaan diceburi berdaya maju.

Menurutnya, perniagaan sektor pelancongan di daerah ini begitu luas dan mempunyai masa depan cerah setelah Bandar Muar dinobatkan sebagai pemenang bandar pelancongan terbersih di Asia dua tahun lalu.

Beliau berkata, selain hotel, homestay dan produk makanan tradisional, pelancongan berasas pertanian adalah antara menjanjikan pulangan baik kepada mereka yang mahu melibatkan diri di bidang ini.

“Bilangan pengunjung yang datang ke bandar ini setiap hujung minggu dan pada cuti am semakin bertambah. Ada yang datang semata-mata mahu menikmati makanan yang terdapat di daerah ini,” katanya.

Muar Tourism dengan kerjasama Pelancongan Negeri Johor dan Kementerian Pelancongan akan meneruskan usaha mempromosi Bandar Muar yang dikenali sebagai Bandar Diraja untuk meningkatkan kehadiran lebih ramai pelancong dalam dan luar negeri pada masa akan datang.

Terdahulu, Sallehudin dan Timbalannya Zaidi Khamis berjaya mengekalkan jawatan masing-masing dalam pemilihan jawatan bagi tahun 2020-2021 dengan mengalahkan pencabar mereka. – JT

(Visited 1 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: