JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, tindakan Datuk Osman Sapian tidak memberi sebarang kesan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini yang masih memiliki majoriti 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, ini kerana bekas Menteri Besar Johor itu masih ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tidak melompat parti.

Tegasnya, kerajaan PN ditubuhkan menerusi kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Bersatu serta Pas dan bukan berdasarkan individu.

“Sebagai ketua kerajaan, saya tidak menerima sebarang makluman tentang pelucutan keahlian mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Maka saya anggap 29 ADUN PN masih lagi kekal dan tiada yang berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Memeterai Perjanjian Pembangunan Hartanah antara Iskandar Waterfront Holdings dan Metallurgical Corporation of China Bhd di Hotel Double Tree, di sini hari ini.

Hasni yang juga Pengerusi BN Johor mengulas kedudukan kerajaan negeri berikutan tindakan Osman yang menyokong calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim, Perak baru-baru ini.

Tindakan Osman itu boleh menyebabkan beliau digugurkan keahlian Bersatu sekali gus mengakibatkan DUN Johor tergantung sekiranya beliau melompat parti dan menyokong Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut, Hasni berkata, sebarang keputusan untuk membubarkan DUN Johor tertakluk kepada budi bicara Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Sekiranya DUN Johor tergantung kerana Menteri Besar Johor tidak lagi mendapat sokongan majoriti ADUN, dia boleh menasihati Tuanku untuk membubarkan DUN. Sama ada bubar atau tidak, itu terpulang kepada Tuanku,” ujarnya. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *