TERSERAH KEPADA MB JOHOR BUBAR DUN – ONN HAFIZ

Oleh Abu Hanifah Muhamad

JOHOR BAHRU – Terserah kepada Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan bertujuan menyelesai pergolakan politik terbaharu di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, cara itu adalah yang paling terbaik kerana Menteri Besar lebih mengetahui masa yang sesuai termasuk sama ada perlu atau tidak membubarkan DUN.

“Dalam senario hari ini segala kemungkinan boleh berlaku (dalam politik Johor). Kita serahkan kepada pucuk pimpinan iaitu Menteri Besar Johor selaku ketua kerajaan di peringkat negeri atas nasihat Sultan Johor untuk membuat keputusan.

“Saya yakin YAB Menteri Besar Johor dan Tuanku Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan membuat keputusan terbaik demi untuk kepentingan rakyat Johor yang sentiasa menjadi pertimbangan utama dalam fikiran dan hati mereka,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri itu berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Farmtirp Majestic Johor Bersama Media di pekarangan Pusat Maklumat Pelancongan Johor (Jotic) di sini hari ini.

Onn Hafiz mengulas kemungkinan usul membubarkan DUN dibentangkan dalam persidangan DUN pada 10 dan 13 Ogos ini susulan keadaan politik di Johor yang kembali tidak menentu selepas tindak-tanduk bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian baru-baru ini.

Osman dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak, menyokong calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi berkempen dan perbuatannya mengundang kecaman dan pelbagai persoalan termasuk kemungkinan Osman melompat parti.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor ketika ini mempunyai majoriti tipis iaitu 29 kerusi DUN manakala Pakatan Harapan (PH) pula mempunyai 27 kerusi DUN.

PN menerusi UMNO mempunyai 14 kerusi, Bersatu (12), MIC (2) dan Pas (satu) sementara PH pula melalui DAP (14), Amanah (9) dan PKR (4).

Mengulas lanjut, Onn Hafiz melihat PH dan pemimpin tertentu lebih suka bermain politik dalam keadaan negara masih lagi dibelenggu COVID-19, sekali gus memberi kesan kepada rakyat.

Kata beliau, mereka seharusnya perlu memberi perhatian menyelesaikan isu serta permasalahan rakyat dan bukan mengambil kesempatan dalam keadaan politik yang tidak menentu ketika ini. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *