SUKMA JOHOR TETAP DIANJURKAN TAHUN DEPAN

SUKMA JOHOR TETAP DIANJURKAN TAHUN DEPAN

ISKANDAR PUTERI – Penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 akan tetap diadakan pada tahun depan walaupun berdepan Covid-19.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, temasya sukan itu tidak akan ditangguh atau dibatalkan kerana tindakan tersebut akan memberi isyarat salah terhadap komuniti sukan.

“Bagaimanapun, beberapa perubahan dibuat contohnya
menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi hari ini sebulat suara bersetuju supaya pengelolaan Para Sukma 2020 dianjurkan terlebih dahulu, iaitu pada 8 hingga 13 Mac 2020.

“Ini mengambil kira peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang berlangsung pada 1 hingga 19 Mac turut membabitkan seramai 171 atlet yang akan bertanding,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma Johor 2020 di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Katanya, tarikh sebenar Sukma Johor 2020 hanya akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi akan datang, iaitu pada Disember ini.

“Saya mengambil langkah lebih ‘calculated’ agar tidak terburu-buru membuat keputusan walaupun ada pihak yang lebih ekstrem kata agar tangguh atau batalkan sahaja,” katanya.

Sekiranya dibatalkan, keputusan itu akan menghantar isyarat tidak betul kepada komuniti sukan malah membawa kesan yang cukup berisiko melibatkan penajaan dan latihan.

Reezal Merican berkata, jawatankuasa tertinggi itu turut mempertimbangkan soal penggiliran tuan rumah Sukma antara negeri dan Pusat setiap dua tahun.

“Penganjuran Sukma menelan belanja suku bilion, maka Jawatankuasa Tertinggi mencadangkan ia diadakan secara bergilir-gilir, maknanya dua tahun di negeri, dua tahun berikutnya di Lembah Klang iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Majlis Sukan Negara.

“Ini sekali gus membolehkan fasiliti sukan yang telah cukup lengkap dapat diguna secara lebih kerap, dengan itu kita tidak memerlukan perbelanjaan modal yang tinggi,” katanya. – JT

(Visited 2 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: