SINDIKET MACAU SCAM PEDAYA WARGA CHINA TUMPAS

JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket Macau Scam selepas melakukan satu serbuan di sebuah hotel di Kluang hari ini.

Menerusi serbuan dilakukan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Johor pada pukul 10 pagi, 43 suspek warganegara China termasuk dua wanita tempatan berusia 18 hingga 40 tahun ditahan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka terlibat dalam sindiket Macau Scam yang menjalankan skim pelaburan Forex yang tidak wujud di Kluang.

“Berdasarkan maklumat, sindiket ini telah beroperasi selama hampir dua bulan di Kluang. Sebelum ini mereka beroperasi di Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

“Masa sindiket ini beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang waktu tempatan. Sindiket ini menyasarkan warganegara China di China,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, pihaknya merampas peralatan seperti 35 komputer riba pelbagai jenis dan 593 unit telefon bimbit pelbagai jenis.

Ayob memberitahu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.

Menurutnya, pihak polis akan terus mengesan dalang-dalang serta saki baki sindiket yang masih bebas dan beroerasi.

Polis Johor katanya, akan sentiasa memantau dan memeriksa premis-premis yang disyaki menjalankan kegiatan tersebut.

Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak bersekongkol dengan mana-mana individu yang menjalankan aktiviti jenayah seperti ini.

Sekiranya orang awam mempunya maklumat berkaitan kegiatan seperti itu, boleh menghubungi bilik gerakan kontinjen Johor menerusi talian 07-2254074. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *