JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut manakala dua rakannya cedera parah selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Taman Bukit Indah, Skudai, di sini malam tadi.

Kemalangan pada pukul 11.56 malam itu mengakibatkan seorang lelaki dewasa yang masih belum dikenal pasti identiti meninggal dunia.

Mangsa itu dipercayai memandu kereta Proton Satria tersebut manakala dua lagi lelaki, K Hem Raj, 23, dan Daniel Joy, 22, cedera parah.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Rusydi Nordin berkata, kemalangan berlaku apabila Proton Satria itu hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan.

“Akibatnya semua mangsa tercampak keluar dari kereta berkenaan yang turut terputus dua pada bahagian tengah badan kenderaan itu.

“Susulan itu seramai 14 anggota BPP Skudai, sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) serta sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian,” katanya dalam sati kenyataan di sini hari ini.

Mohd Rusydi berkata, dua mangsa yang cedera diselamatkan dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan lanjut.

Katanya, operasi keseluruhan tamat selepas pihak bomba melakukan pembersihan kesan daripada kemalangan itu pukul 12.46 tengah malam. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *