RM41 JUTA BINA, NAIK TARAF DI 3 DAERAH

Oleh Abu Hanifah Muhamad

PASIR GUDANG – Peruntukan berjumlah RM41 juta diluluskan kerajaan negeri bagi membina serta menaik taraf jalan di tiga daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, projek tersebut melibatkan daerah ini, Mersing dan Batu Pahat di lokasi yang strategik dan tumpuan.

Beliau berkata, antaranya membuat jalan penyambung, membina jalan baharu dan menaik taraf jalan di Masai hingga Pasir Gudang.

“Kerja-kerja di jalan penyambung melibatkan jarak 820 meter dengan kos RM25 juta. Ini akan menyambungkan keseluruhan lima kilometer jalan dari Kong-Kong, Masai ke Pasir Gudang.

“Ini akan menjadikan jalan itu lebih baik daripada dua kepada empat lorong. Ini akan meningkatkan lagi pembangunan kawasan ini terutama di Iskandar Halal Park (IHP),” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja di IHP, Masai di sini hari ini.

Terdahulu beliau melakukan lawatan ke Frontier Industrial Park Desa Cemerlang Tiram, di Ulu Tiram, Johor Bahru sebelum melawat tiga lokasi di Jajaran Cadangan Middle Ring Road (MRR) di daerah ini.

Mohd. Solihan, kerja-kerja untuk jalan penyambung tersebut akan dilaksanakan dalam masa singkat dan kini dalam proses reka bentuk.

Katanya, kemudahan awam sedia ada itu perlu diperbaiki kerana antara kawasan IHP memerlukan infratruktur asas yang lengkap dan menarik supaya pelabur berminat untuk datang membuat pelaburan.

Selain itu, beliau memberitahu, pembinaan Jalan Nitar-Sekakap di Mersing akan dibina dengan kos RM13 juta.

Menurutnya, satu lagi projek ialah membaiki persimpangan di Jalan Tan Swee Hoe dan Jalan Parit Besar, Batu Pahat dengan kos RM6 juta.

“Semua ini bertujuan menambah baik kemudahan sedia ada, mengurang kesesakan dan mewujudkan peluang pembangunan ekonomi baharu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan membantu Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dalam permohonan untuk melaksanakan pelaksanaan projek Kesalinghubungan Lingkaran Tengah dari Jalan Taman Impian Emas ke Taman Kota Masai.

“Kos jalan raya empat lorong dua hala sepanjang 15 kilometer itu dianggarkan bernilai RM200 juta. Diharap kerajaan Persekutuan akan membantu memasukkannya di bawah Rancangan Malaysia ke-12,” katanya. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *