PROGRAM WORLD CLEANUP DAY 2020 : 6,474 KILOGRAM DIBERSIHKAN

PROGRAM WORLD CLEANUP DAY 2020 : 6,474 KILOGRAM DIBERSIHKAN

ISKANDAR PUTERI – SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaksanakan pengauditan sisa ke atas 6,474.68 kilogram sisa pepejal.

Sisa berkenaan dibersihkan sempena program World Cleanup Day 2020 di 11 lokasi di negeri ini antaranya di Pantai Senibong, Johor Bahru, Pantai Seri Menanti (Muar), Gunung Lambak (Kluang) dan Gunung Pulai (Kulai).

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, 1,400 sukarelawan daripada 53 organisasi terdiri melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institut pengajian tinggi (IPT), agensi awam dan swasta terlibat dalam pembersihan itu.

“Ini melibatkan pembersihan serentak di 11 lokasi itu bagi menjayakan matlamat kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara bersih, indah dan sejahtera di samping membentuk kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang pemeliharaan alam sekitar.

“Pihak SWM Environment turut mengadakan aktiviti pembersihan pantai juga secara serentak yang mendapat kerjasama dan sokongan Coca-Cola Bottlers Malaysia Sdn. Bhd. (Coca-Cola) di Pantai Teluk Gorek (Mersing) dan Pantai Perpat (Batu Pahat).

“Aktiviti ini bertemakan Sinergi Untuk Ekologi Bersama dengan matlamat memulihara hidupan marin dan seterusnya mengekalkan kelestarian ekosistem demi kesinambungan generasi masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, sukarelawan turut diberikan kesedaran tentang pengurusan sisa pepejal secara berhemah serta pembudayaan 3R iaitu Reduce, Reuse, Recycle dan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca (SAS) serta pengenalan program kitar semula berganjaran KitaRecycle.

“Penerapan amalan tersebut mampu menghentikan pembuangan sampah di tempat tumpuan orang ramai serta pantai dan laut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Coca-Cola Malaysia, Singapura dan Brunei, Barry O’Connell berkata, kelestarian adalah penting dalam setiap aspek perniagaan pihaknya.

“Oleh itu, Coca-Cola Malaysia amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan SWM Environment untuk program pembersihan pantai. Usaha kami sejajar visi ‘World Without Waste’ iaitu mengumpul dan mengitar semula botol atau tin untuk setiap yang dijual pada tahun 2030.

“Perubahan minda amat diperlukan bagi mengurangkan kadar sisa dan meningkatkan amalan kitar semula dalam kalangan rakyat Malaysia. Untuk itu kita perlu meningkatkan kesedaran secara kolektif dan membantu masyarakat memahami cara dan nilai dalam kitar semula,” katanya.

Melalui program pembersihan pantai kata beliau, pihaknya percaya ‘World Without Waste’ boleh dicapai jika kita semua menggunakan kepakaran dan sumber daya untuk menyelesaikan masalah pembuangan sampah.

Perkara lebih penting katanya, bekerjasama ke arah persekitaran yang sihat supaya kita semua boleh kekalkan persekitaran untuk generasi akan datang. – JT

(Visited 4 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: