POLIS RAMPAS DADAH BERNILAI RM1.58 JUTA

JOHOR BAHRU – Satu sindiket pengedaran dadah yang dikenali Rose Quartz sejak tiga bulan lalu lumpuh selepas kegiatan mereka dibongkar polis dalam enam serbuan di sekitar bandar raya ini kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, menerusi operasi khas itu yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, enam lelaki tempatan berusia 39 hingga 57 tahun ditahan.

“Kita turut merampas pelbagai jenis dadah, iaitu 39.33 kilogram (kg) jenis syabu, ketamin (74.98 gram) serta serbuk ekstasi (20.92g) bernilai RM1.58 juta.

“Hasil siasatan dan risikan selama dua bulan ke atas sindiket itu mendapati bekalan dadah diperoleh dari utara Semenanjung kemudian dibungkus di negara ini.

“Modus operandi yang dijalankan adalah dengan menggunakan laluan udara dan laut bagi menyeludup serta mengedar dari negeri ini ke Sarawak dan juga pasaran antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Katanya, hasil saringan awal air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan ketamine, semakan rekod pula mendapati tiga daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

“Polis turut merampas mesin yang digunakan untuk pembungkusan dadah serta beberapa peralatan lain termasuk sepucuk pistol angin.

“Polis juga menyita tujuh kenderaan bernilai RM982,800, dua jam tangan berjenama bernilai RM2,000, wang tunai RM172,051 dan 13,000 baht (RM1,726.07) dengan jumlah keseluruhan sitaan adalah RM1.1 juta,” katanya.

Semua suspek katanya, direman bermula semalam hingga 16 September ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *