JOHOR BAHRU – Seorang lelaki Singapura dan seorang lelaki tempatan ditahan serta rokok seludup bernilai lebih RM1 juta dirampas di Taman Sutera di sini hari ini.

Mereka ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) semasa kedua-duanya sedang memindahkan beberapa kotak rokok haram dari kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire ke sebuah MPV Proton Exora pada jam 2 petang.

Komander Kem Batalion 5 PGA Simpang Renggam, Superitendan Dimin Awang berkata, lelaki warga Singapura itu yang memandu Toyota Vellfire tidak sempat melarikan diri semasa diserbu.

“Siasatan mendapati MPV itu baru sahaja hanya memindahkan beberapa kotak rokok haram ke dalam sebuah MPV Proton Exora. Proton Exora itu pula terlepas dan melarikan diri dengan memecut kenderaannya.

“Hasil pemeriksaan dalam Toyota Vellfire kita merampas wang tunai RM15,000,” katanya dalam sidang akhbar di sebuah rumah yang dijadikan tempat menyimpan rokok haram itu di Taman Universiti, Skudai sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun terlepas tetapi sepasukan PGA yang lain mengejar Proton Exora tersebut hingga membawa ke sebuah rumah di Jalan Kemuliaan 35, Taman Universiti.

Menyedari PGA berjaya mengejarnya hingga ke rumah tersebut, Dimin berkata, suspek naik ke atas bumbung untuk melarikan diri tetapi terjatuh dan mengakibatkan kaki kirinya patah.

Jelas beliau, pemeriksaan di rumah tersebut menemukan kotak-kotak mengandungi rokok haram dipercayai dari negara jiran yang diseludup masuk untuk pasaran tempatan.

Menurut beliau, suspek kedua itu merupakan lelaki tempatan, mereka berdua berusia 31 dan 49 tahun.

Katanya, suspek yang patah kaki itu dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut dan seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau.

“Ini adalah rampasan rokok haram terbesar PGA setakat ini dalam tahun ini melibatkan nilai RM1.7 juta termasuk dua kenderaan yang mereka gunakan untuk melakukan aktiviti haram tersebut,” katanya.

“Kita telah mengawasi sindiket ini selama satu bulan. Mereka dipercayai aktif mengedar rokok haram selama setengah tahun. Kita telah lama mengesyaki rumah itu dijadikan tempat simpanan rokok seludup,” katanya. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *