PAS MINTA PENJELASAN UMNO

PAS MINTA PENJELASAN UMNO

KUALA LUMPUR: PAS meminta penjelasan daripada UMNO berhubung dakwaan berlakunya perubahan sokongan Ahli Parlimen UMNO terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata sekiranya keadaan itu benar, bermakna UMNO tidak mematuhi persefahaman dan persetujuan yang termaktub dalam Piagam Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai pada 14 September 2019.

“Sukacita diingatkan, Piagam Muafakat Nasional dizahirkan berteraskan matlamat untuk menyatupadukan umat Islam dalam negara, sekali gus berusaha mengalahkan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui PKR, DAP dan Amanah.

“Sekiranya peralihan ini benar, ia boleh dianggap sebagai satu gerakan yang bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional yang terbina di atas permuafakatan BN, BERSATU, PAS, GPS dan beberapa parti lain di atas kejatuhan Kerajaan PH,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Takiyuddin berkata, PAS mahu mendapatkan penjelasan yang sejelas-jelasnya daripada UMNO atas dasar rakan muafakat dalam MN, seterusnya mengajak UMNO untuk menghayati hasrat dan iltizam yang disepakati secara bersama.

Kenyataan Takiyuddin menyusul selepas Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ramai Ahli Parlimen UMNO dan BN telah menyatakan sokongan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO membuat kenyataan itu pada Rabu, iaitu hari sama Anwar mengumumkan bahawa beliau mempunyai majoriti kerusi yang kukuh dan meyakinkan untuk membentuk kerajaan baharu.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Zahid berkata, beliau menghormati pendirian yang diambil oleh Ahli Parlimen daripada UMNO itu, manakala UMNO dan BN tidak boleh menghalang mereka daripada menyatakan sokongan kepada Anwar.

“Saya mengikuti sidang media oleh Anwar. Sebagaimana diketahui umum, UMNO dan BN bukan parti komponen Perikatan Nasional (PN). Sokongan kepada kerajaan PN adalah sokongan daripada Ahli Parlimen sahaja,” kata Ahmad Zahid.

Setakat ini, beberapa Ahli Parlimen UMNO tampil menafikan mereka menyertai kumpulan Anwar untuk menubuhkan kerajaan. – BH

(Visited 7 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: