KOTA TINGGI – Pengguna jalan raya tergamam dan panik apabila dua ekor gajah liar muncul di Jalan Mawai, Kota Tinggi di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 7 petang, kemunculan binatang itu menyebabkan pengguna jalan raya terpaksa menghentikan kenderaan mereka.

Tindakan itu menyebabkan kesesakan selain menimbulkan rasa bimbang pengguna jalan raya sehingga anggota polis dipanggil bagi membantu mengawal keadaan termasuk dikhuatiri dua gajah itu mengamuk.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, gajah liar itu menyerang gerai buah-buahan di kawasan terbabit kira-kira pukul 8 malam.

“Pemilik gerai iaitu seorang wanita tempatan berusia 52 tahun sempat menyelamatkan diri, namun gerainya telah dirosakkan dan mengalami kerugian RM1,000.

“Hasil siasatan di tempat kejadian, terdapat dua ekor gajah dipercayai merupakan ibu dan anak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sejak malam tadi tular beberapa video dan gambar dua ekor gajah liar di gerai buah dan berjalan atas jalan raya di jalan berkenaan.

Pada 27 Julai lalu, seorang pengawal keselamatan, Misran Tukijo, 56, maut selepas diserang sekumpulan gajah liar di Simpang Perani, Jalan Mawai dan keretanya juga kemek dipercayai dipijak haiwan itu.

Jelasnya, kawasan berkenaan merupakan laluan gajah liar dan sebelum ini mengorbankan satu nyawa akibat serangan binatang tersebut.

Kes itu sudah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor untuk tindakan lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *