MIC HARAP TANDING LEBIH BANYAK KERUSI PARLIMEN, DUN DI JOHOR

MIC HARAP TANDING LEBIH BANYAK KERUSI PARLIMEN, DUN DI JOHOR

KULAI – MIC berharap dapat bertanding lebih banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Tan Sri S. Vigneswaran berkata, MIC sedang berusaha untuk meningkatkan jumlah Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) termasuk di negeri ini.

“Apa yang pasti kami akan bertanding sekurang-kurangnya satu kerusi Parlimen di Johor. Kita yakin untuk memenangi lebih daripada lima
kerusi Parlimen di seluruh negara atas dasar toleransi parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Dahulu, persepsi rakyat terhadap MIC adalah kita tidak banyak berkhidmat untuk mereka khususnya masyarakat India tetapi apabila Pakatan Harapan (PH) memerintah, baru mereka sedar apa yang BN lakukan dahulu adalah lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen MIC Johor, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dan Pengerusi MIC Johor, R. Vidyananthan.

Sementara itu, beliau berkata, PRU-15 adalah alternatif terbaik sekiranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasakan sudah tidak lagi memiliki majoriti sokongan.

Namun katanya, MIC berpendapat PRU-15 tidak sesuai diadakan ketika ini ekoran Covid-19 yang masih melanda seluruh dunia.

“Ini kerana PRU-15 merupakan satu proses yang rumit dan melibatkan kos tinggi walaupun negara kita kini mempunyai rekod positif berhubung
pengendalian Covid-19.

“Jadi jika ditanya adakah ini masa sesuai untuk mengadakan PRU-15, saya rasa tidak, namun ia juga tidak dapat dielakkan kerana ini
merupakan proses demokrasi,” katanya.

Vigneswaran berkata, PRU-15 juga boleh diadakan jika Yang Dipertuan Agong melihat langkah itu dapat menamatkan kemelut politik negara
yang tidak berkesudahan ketika ini.

“Jika Yang Dipertuan Agong melihat kerajaan seringkali bertukar seperti keadaan cuaca, maka baginda boleh meminta PRU15 diadakan yang
mana saya rasa ia adalah langkah terbaik untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Mengenai kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung sokongan Ahli Parlimen parti berkenaan terhadap Anwar untuk
menubuhkan kerajaan baharu, beliau berkata, perkara itu hanya boleh dijelaskan Ahmad Zahid sendiri.

“Ini kerana saya tidak mendengar mana-mana Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan tersebut (menyokong Anwar),” katanya. – JT

(Visited 8 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: