in

MARSAH TUBUH PUSAT PENDIDIKAN KESULTANAN ISLAM JOHOR

JOHOR BAHRU – Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) akan menubuhkan Pusat Pendidikan Kesultanan Islam Johor dan Pusat Persuratan Melayu Islam yang merupakan usaha penting bagi melahirkan Bangsa Johor yang berjati diri dan cintakan negeri.

Penubuhannya juga bagi memahami sejarah Kesultanan Johor, mentaati pemerintah dan berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pemangku Rektor Marsah, Datuk Mohd. Noh Ibrahim berkata, bagi pusat pendidikan itu pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan; Majlis Jumaah Diraja Johor; Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).

“Kita juga akan bekerjasama dengan Arkib Negara Malaysia Negeri Johor dan Tetuan Ikbal Salam yang bertujuan menilai, menjaga mutu dan membuat penambahbaikan program berkenaan dari masa ke semasa.,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Kerjasama Marsah dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) serta Pelancaran buku Antologi Pemikir Bangsa dan Antologi Pintu Mabrur dalam tulisan Jawi di Marsah, Larkin di sini hari ini.

Turut hadir Penasihat MAINJ, Datuk Nooh Gadot merangkap Ahl Lembaga Marsah; Pengerusi Lembaga Pengelola Marsah, Datuk Mohd Tahrir Samsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Abdul Rashid A Rahman dan Ketua Satu PPJ, Amiruddin Md Ali Hanafiah.

Katanya, Pusat Persuratan Melayu Islam pula adalah perancangan jangka masa panjang Marsah yang akan berperanan mengekalkan legasi Johor sebagai pusat persuratan Melayu terulung satu ketika dahulu.

“Hal ini amat penting kerana daripada suduh sejarah, pada abad ke-20 muncul pujangga ulung penerus legasi persuratan Melayu yang tiada tandingannya. Tokoh dimaksudkan ialah Datuk Mejar Mohd Said Sulaiman.

“Beliau menerajui Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor yang berpusat di Johor Bahru pada masa pemerintahan Sultan Ibrahim dari 1895 hingga 1959. Beliau menulis dalam pelbagai genre seperti bahasa, sejarah dan agama termasuk karya sastera,” katanya.

Selain itu, Marsah juga akan memperkenalkan kursus baharu iaitu Kesultanan Islam Johor dalam masa terdekat kepada murid Darjah Satu sehingga Darjah Khas atau daripada usia 7 tahun hingga 13 tahun.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata, Marsah akan dinaik taraf sebagai sebuah kolej universiti dan usaha itu sedang giat dijalankan barisan pengurusan dan pentadbir yang kelak akan menjadi mercu tanda penting dalam bidang pengajian Islam di Johor.

“Kita berdoa agar usaha ini memperoleh bantuan Allah. Ini bagi memastikan pendidikan Islam di negeri ini akan terus berkembang seiring dengan kemajuan dan perkembangan arus teknologi semasa,” katanya. – JT

(Visited 146 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Loading…

0