MAQIS RAMPAS BIJI KOPI DARI INDONESIA

MAQIS RAMPAS BIJI KOPI DARI INDONESIA

KULAI – Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor menggagalkan cubaan membawa masuk bungkusan mengandungi biji kopi dari Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini semalam.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A.Rahman berkata, kandungan bungkusan itu berjaya dibongkar dalam pemeriksaan pada pukul 10 pagi semasa seorang wanita mahu mengambilnya di Pejabat Pos DHL LTAS.

Katanya, biji kopi berkenaan dipesan wanita tempatan berusia dalam lingkungan 30-an itu dan keterangan daripadanya sudah pun diambil.

“Pihak Maqis menemukan sembilan bungkusan mengandungi biji kopi dengan berat 18.4 Kilogram yang dianggarkan bernilai RM790.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati biji kopi tersebut tidak mempunyai permit import sah yang dikeluarkan pihak Maqis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Biji kopi berkenaan juga tidak mempunyai sijil fitosanitasi dari negara asal dan dibawa masuk untuk kegunaan sendiri.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana
mengimport keluaran pertanian tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan di bawah akta ini, katanya.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3)
akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya. – JT

(Visited 3 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: