KONDO JADI PORT PROSES HEROIN

KONDO JADI PORT PROSES HEROIN

GEORGETOWN: Penahanan tiga lelaki berusia antara 24 hingga 33 tahun berjaya membongkar makmal mini digunakan bagi memproses dadah jenis heroin di sebuah kondominium, di Bukit Tengah di daerah Seberang Perai Tengah, di sini.

Pembongkaran kegiatan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Pulau Pinang itu turut merampas beberapa jenis dadah bernilai RM587,000.

Ketua JSJN, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, pihaknya menahan suspek pertama di kondominium dipercayai disewa bagi menjalankan kegiatan itu, dalam serbuan jam 2.30 malam, pada 23 September lalu.

Katanya, polis merampas 17,155 gram (g) dadah jenis heroin, 8,670 syabu; 15,100 serbuk kafein; 15 botol cecair kimia dan peralatan memproses heroin.

“Suspek penganggur berusia 33 tahun dipercayai mempunyai kepakaran memproses dadah dan menjalankan kegiatan berkenaan sejak tiga bulan lalu.

“Polis juga turut merampas sepucuk pistol jenis CZ 75D Compact berserta kelopak dan sarung pistol, selain 43 butir peluru hidup.

“Polis masih menyiasat kegunaan pistol terbabit sama ada bagi mempertahankan diri atau bagi kegiatan jenayah lain,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mustafa Kamal berkata, susulan itu, dua lagi suspek lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti terbabit ditahan di kawasan Perai, jam 2 pagi, 22 September lalu.

Katanya, suspek kedua dan ketiga dipercayai bertindak sebagai pengedar bagi pasaran tempatan dan ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah.

“Suspek pertama mempunyai dua rekod berkait dadah, manakala suspek kedua tidak mempunyai rekod lampau serta suspek ketiga ada dua rekod kes dadah dan jenayah.

“Kesemua dadah dirampas boleh digunakan oleh seramai 86,238 penagih,” katanya.

Turut dirampas ialah sebuah kereta jenis Toyota Velfire serta enam barangan kemas dan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan harta ialah sebanyak RM847,895.

Dua daripadanya, kini ditahan reman sehingga 28 September ini, mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, manakala seorang lagi suspek ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1985.

Siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori dan Seksyen 8 Akta Akta Senjata Api (Penalti lebih Berat 1971) yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan maksimum tidak enam sebatan.

Mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya. – BH

(Visited 1 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: