MUAR- Kerajaan Negeri Johor sentiasa memberi sokong penuh terhadap usaha pihak koperasi di negeri ini melebarkan sayap dengan mencari peluang baharu dalam bidang perniagaan.

Walau bagaimanapun, Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad mahu supaya usaha itu dirancang secara rapi dalam memastikan kejayaannya, sekali gus mendapat hasil yang memberangsangkan.

“Sekiranya hari ini, kita berbincang mengenai pembangunan ladang solar, ia perlulah ada kepakaran-kepakaran selain tempat dan ruang yang sesuai.

“Perniagaan yang dihasilkan perlu memberi pulangan dan jaminan. Menerusi perancangan yang rapi ini juga, sebarang bantuan daripada Kerajaan Negeri Johor dapat disalurkan dengan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-53 Koperasi Perniagaaan Guru-Guru Muar Berhad (Kopniaga) di Dewan Jubli Intan Muar, di sini hari ini.

Beliau turut mengambil maklum mengenai beberapa cadangan yang telah diusulkan Pengerusi Kopniaga, Abdul Fadzil Hussin berkenaan usaha melebarkan sayap perniagaan koperasi itu.

“Kopniaga mempunyai lebih 2,000 ahli dan menjadi antara koperasi yang terbaik di negeri ini. Ruang dan peluang untuk melebarkan perniagaan sememangnya perlu.

“Menerusi usaha ini akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu, sekali gus memperkasakan ekonomi negeri ini yang mengalami kelembapan akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *