JAWATAN KM SABAH DITENTUKAN LEPAS PRN – @KhaledNordin

JAWATAN KM SABAH DITENTUKAN LEPAS PRN

Oleh Abu Hanifah Muhamad

PASIR GUDANG – Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengumumkan calon Ketua Menteri Sabah lebih awal merupakan taktik untuk meraih sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan wakil daripada parti mana akan menjadi Ketua Menteri Sabah ditentukan selepas PRN tersebut pada bulan depan.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, tiada kata putus atau penetapan secara rasmi berkenaan jawatan tersebut ketika ini.

“Perkara ini (pelantikan jawatan Ketua Menteri Sabah daripada wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia) hanya satu cadangan dan belum tentu jadi kenyataan. Terlalu awal untuk kita katakan perkara ini.

“Seperti mana disebutkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada sebelum ini, individu yang bakal menjadi Ketua Menteri adalah bergantung kepada keputusan pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar dalam Majlis Pelancaran Badan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pasir Gudang di Taman Rinting di sini hari ini.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa hari penamaan calon PRN Sabah pada 12 September lalu membayangkan calon Ketua Menteri Sabah adalah daripada parti tersebut.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Hajiji Noor adalah nama yang disebut sebagai bakal Ketua Menteri Sabah jika dipersetujui parti lain dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, beliau berkata, jumlah calon dan parti yang banyak bertanding dalam PRN Sabah tidak boleh dijadikan ukuran bahawa demokrasi di negeri itu telah subur.

Katanya, ramai calon dan parti yang bertanding tanpa agenda dan strategik kerana mereka melakukannya untuk kepentingan jangka pendek.

“Saya lihat begitu banyaknya calon yang bertanding malah dengan jumlah parti banyak. Daripada satu sudut, orang boleh kata demokrasi di Sabah sangat subur,” katanya. – JT

(Visited 2 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: